Kia Carnival varian 8 tempat duduk dilancarkan pada harga RM238,888 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kia Carnival varian 8 tempat duduk dilancarkan pada harga RM238,888

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 April — Kia Sales Malaysia Sdn Bhd memperluaskan barisan model kenderaan pelbagai kegunaan (MPV) premiumnya menerusi pelancaran terbaharu Kia Carnival varian lapan tempat duduk.


Menurut kenyataan syarikat tersebut, model dipasang tempatan di Kulim, Kedah itu direka memenuhi permintaan meningkat terhadap kenderaan lebih fleksibel untuk kegunaan keluarga dan perniagaan.


Selain itu, model berkenaan ditawarkan pada harga serendah RM238,888, sekali gus mengisi jurang antara varian sedia ada dengan 11 tempat duduk (RM188,888) dan 7 tempat duduk (RM248,888).


"Ia dalam susun atur 2-3-3, serta menampilkan tempat duduk barisan kedua jenis 40:20:40 yang boleh ditanggal, digelongsor dan dipusing, memberikan fleksibiliti tinggi pelbagai keperluan," kata Kia.


Ruang kabin pula turut mengekalkan keluasan ruang kaki dan kepala seperti varian 7 tempat duduk, manakala barisan ketiga hadir dengan tempat duduk lipat 60:40 untuk susunan kargo lebih praktikal.

 

Kia

 

Kia


Dari segi kemewahan jelas kenyataan tersebut, model ini dilengkapi paparan digital berkembar 12.3 inci, sistem hiburan bermaklumat moden serta sistem audio premium Bose dengan 12 pembesar suara.


Kia Carnival varian baharu ini ujarnya, dikuasakan enjin turbodiesel Smartstream 2.2 liter yang menghasilkan 202 PS dan 440 Nm tork, digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.


"Penggunaan bahan api dianggarkan hanya sekitar 6.5 liter bagi setiap 100 kilometer (WLTP), dengan jarak pemanduan melebihi 900 kilometer untuk pengisian minyak satu tangki penuh," tambahnya.


Di samping itu kata kenyataan berkenaan, model ini turut dilengkapi dengan pemasangan sejumlah lapan beg udara termasuk beg udara tengah serta pelbagai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

 

Kia

 

Kia


Setiap pembelian kenderaan tersebut didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer, selain pilihan pembiayaan serendah 1.98% setahun atau kredit minyak RM6,000 melalui e-Wallet.


Kos penyelenggaraan pula jelas Kia, dianggarkan hanya sekitar RM3,600 untuk tempoh lima tahun, sekali gus menjadikan model itu antara MPV premium yang kompetitif dari segi kos pemilikan.


"Pelancaran varian ini mengukuhkan lagi kedudukan Kia Carnival dalam segmen MPV besar di Malaysia, dengan gabungan teknologi dan keselesaan disasarkan kepada pelbagai segmen pengguna," katanya.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim berkata, pengenalan varian itu mencerminkan keupayaan menyesuaikan produk dan perubahan keperluan pasaran tempatan.


Sementara itu, Pengarah Urusan, Emily Lek berkata, varian 8 tempat duduk menawarkan keseimbangan antara praktikal dan keselesaan premium, sesuai bagi keluarga besar serta kegunaan korporat. - DagangNews.com