KUALA LUMPUR 10 Feb - Khazanah Nasional Bhd mencatat prestasi berdaya tahan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, menutup tahun dengan aset bersih berjumlah RM105 bilion dan mencatatkan pulangan 5.2 peratus bagi tahun kewangan tersebut.
Dalam kenyataan, dana kekayaan berdaulat itu berkata prestasi berkenaan disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin serta fokus terhadap penciptaan nilai jangka panjang, walaupun menghadapi ketidakpastian geopolitik dan geoekonomi yang meningkat.
Khazanah turut mencatatkan pulangan kitaran tujuh tahun sebanyak 6.1% mencerminkan pengurusan jangka panjang yang berdisiplin serta penyampaian keutamaan ekonomi nasional.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata Khazanah sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya untuk menambah kekayaan jangka panjang negara melalui pulangan yang disesuaikan dengan risiko, serta mewujudkan nilai melebihi hasil kewangan dengan membina kapasiti dan komuniti yang dinamik.
“Kami berbesar hati untuk menyatakan dengan pendekatan berdisiplin dan horizon pelaburan jangka panjang membolehkan kami mencatat prestasi yang kukuh walaupun berdepan persekitaran global yang tidak menentu pada 2025.
“Menyokong agenda Ekonomi MADANI bagi meningkatkan kedua-dua paras lantai dan siling ekonomi negara tetap menjadi keutamaan kami,” katanya dalam sidang media sempena penerbitan Khazanah Annual Review 2026 (KAR 2026) hari ini.
Beliau menambah, apa sahaja Khazanah lakukan mesti memberi manfaat kepada rakyat, dengan menumpukan kepada pembangunan kapasiti dan komuniti.
“Kami memainkan peranan kami melalui program GEAR-uP, dengan menumpukan kepada bidang kritikal kerajaan serta memperkukuh ekosistem startup, yang menjadi asas kepada inovasi negara,” katanya.

Amirul Feisal berkata, walaupun terdapat ketidakpastian pasaran global yang didorong oleh perang tarif dan risiko geopolitik, Khazanah tetap meneruskan momentum pertumbuhan Malaysia, disokong oleh dasar progresif serta kedudukan geopolitik negara yang neutral.
Hasil daripada itu, katanya, jumlah aset meningkat RM5 bilion kepada RM156 bilion pada 2025, mencerminkan pertumbuhan portfolio jangka panjang yang stabil.
Prestasi kewangan terus didorong terutamanya oleh portfolio pelaburan, yang kekal sebagai tonggak utama pulangan.
Portfolio ini berkembang daripada RM81 bilion pada 2018 kepada RM95 bilion setakat akhir 2025, disokong oleh prestasi kukuh ekuiti domestik dan global, inisiatif penciptaan nilai, serta usaha diversifikasi.
Amirul Feisal berkata di bawah tiang kesalinghubungan dalam strategi pelaburan Malaysia, Khazanah telah memajukan dua inisiatif strategik utama, iaitu penyelesaian penswastaan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan Dana Warisan, satu inisiatif di bawah Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).
“Penswastaan MAHB kini sudah mula menunjukkan hasil yang nyata, dengan pergerakan penumpang meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun kepada 104.4 juta, disokong oleh kemasukan 15 syarikat penerbangan baharu yang memulakan perkhidmatan dan operasi ke Malaysia.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut dinamakan sebagai lapangan terbang terbaik Asia Pasifik dalam laporan OAG Megahubs 2025, menduduki tempat keempat bersama secara global dan mengekalkan statusnya sebagai Megahub penerbangan kos rendah (LCC) terkemuka dunia,” katanya.
Dana Warisan pula mencapai tahap pencapaian pemuliharaan utama, termasuk pembukaan semula Seri Negara dan pemulihan Blok 1 Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad tepat pada masanya untuk program Tahun Melawat Malaysia 2026. - DagangNews.com








