KUALA LUMPUR 16 Julai - Khazanah Nasional Bhd dikatakan sedang bekerjasama dengan penasihat kewangan bagi merancang penerbitan bon dolar boleh tukar bernilai AS$500 juta (RM2.12 bilion) untuk membantu membiayai pelaburan luar negaranya.
Menurut sumber yang mengetahui perkara ini, dana kekayaan negara Malaysia itu sedang menimbangkan untuk mengumpul dana sebanyak AS$500 juta melalui jualan bon dolar boleh tukar, bagi menyokong pelaburan antarabangsa mereka.
Khazanah sedang bekerjasama dengan penasihat kewangan bagi merancang tawaran tersebut, kata sumber yang enggan dinamakan kerana proses itu bersifat sulit.
Aset asas untuk bon tersebut masih belum ditentukan, tetapi berkemungkinan melibatkan saham milik Khazanah dalam syarikat milik kerajaan seperti Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd atau CIMB Group Holdings Bhd, menurut sumber berkenaan.
Pertimbangan masih dijalankan dan Khazanah mungkin membuat keputusan untuk tidak meneruskan penjualan bon tersebut, kata mereka lagi.
Khazanah sebelum ini membatalkan penjualan blok saham Tenaga Nasional bernilai sehingga AS$305 juta awal bulan ini disebabkan oleh keputusan cukai yang tidak memihak kepada Tenaga, menurut sumber berkenaan.
Khazanah memiliki kira-kira 21% pegangan dalam Tenaga, 20% dalam Telekom Malaysia, dan sekitar 21% dalam CIMB, menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg.
Wakil Khazanah enggan mengulas mengenai perkara ini. - DagangNews.com








