Khazanah catat keuntungan RM5.6 bilion FY2025, kembalikan RM2 bilion dividen kepada kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Khazanah catat keuntungan RM5.6 bilion FY2025, kembalikan RM2 bilion dividen kepada kerajaan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Feb – Khazanah Nasional Bhd mencatatkan prestasi kewangan kukuh bagi tahun 2025 dengan keuntungan operasi sebanyak RM5.6 bilion dan mengembalikan RM2 bilion dalam bentuk dividen kepada kerajaan, mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata sejak penubuhan Khazanah pada 2004, dana berdaulat itu telah membayar dividen terkumpul sebanyak RM21.1 bilion, dengan jumlah pulangan pemegang saham terkumpul mencecah RM93.1 bilion.

 

“Pulangan jangka panjang adalah penting, tetapi kami juga mempunyai tanggungjawab untuk menyokong kerajaan dari segi keuntungan dan menyediakan pulangan tersebut.

 

 

 

 

"Oleh itu, adalah penting bagi kami mengekalkan portfolio yang seimbang dan pelbagai bagi mengurus risiko serta memastikan pulangan yang konsisten sepanjang kitaran ekonomi,” katanya semasa taklimat media Khazanah Annual Review 2026 di sini hari ini.

 

Amirul Feisal menambah pendekatan ini membolehkan Khazanah menyokong pelbagai keperluan negara sambil menumpukan kepada pertumbuhan jangka panjang dan kestabilan aliran tunai.

 

“Khazanah diberi tanggungjawab untuk mengurus aset negara bagi menambah kekayaan jangka panjang Malaysia. Ini melibatkan pembinaan portfolio yang kukuh dan pelbagai, yang mampu menjana pulangan mampan bersesuaian risiko, sambil memajukan keutamaan ekonomi Malaysia,” katanya.

 

khazanah3


Membina Kapasiti dan Komuniti Mampan

Amirul Feisal berkata, selain pulangan kewangan, Khazanah terus menjana nilai sosial melalui pembangunan kapasiti dan inisiatif komuniti. 

 

Pada 2025, Khazanah menyalurkan RM330 juta bagi tujuan tersebut, menjadikan jumlah kumulatif melebihi RM2.7 bilion sejak 2006 untuk pembangunan komuniti di seluruh negara. 

 

Usaha ini dilaksanakan melalui entiti filantropi khusus termasuk Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute, Taman Tugu dan Think City.

 

Program K-Youth Khazanah melatih 9,934 belia (termasuk 76% daripada keluarga B40 dan 79% Bumiputera) dengan kerjasama 18 rakan program. 

 

Sejak penubuhannya pada 2023, lebih 34,000 belia telah dilatih dalam bidang pertumbuhan utama seperti inovasi digital dan teknologi, semikonduktor serta penerbangan.

 

Melangkah Ke Hadapan

Amirul Feisal berkata, menjelang 2026, prospek Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh pelaburan swasta dan pelaburan langsung asing yang giat meskipun pertumbuhan global dijangka sederhana. 

 

Sehubungan dengan itu, Khazanah akan terus mempelbagai dan memperkukuh daya tahan portfolio melalui pengurusan kecairan dan risiko yang berhemat, selaras dengan mandat dan selera risiko strategiknya.

 

 

 

 

 

 

“Dalam menghadapi cabaran global yang berterusan, Khazanah akan mempercepat pelaksanaan inisiatif strategik untuk Memajukan Malaysia dengan mengoptimumkan portfolio jangka panjang serta menyampaikan impak sosioekonomi. 

 

"Kami akan terus memberi tumpuan kepada keutamaan negara, menjana pulangan mampan, memperkukuh daya tahan portfolio merentas dimensi kecairan dan risiko serta mempelbagaikan pendedahan pelaburan antarabangsa,” tambah Amirul Feisal. - DagangNews.com