KUALA LUMPUR 25 Sept - Keyfield International Berhad menerusi anak syarikat penuh miliknya, Keyfield Offshore Sdn Bhd (KOSB) menerima lapan anugerah pesanan kerja (WOA) daripada Petronas Carigali Sdn Bhd yang dianggarkan bernilai kira-kira RM130.3 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Keyfield berkata, WOA itu dikeluarkan Petronas Carigali selaku penyewa antara bulan Jun hingga Ogos 2024 untuk penyediaan enam unit bot kerja penginapan (AWB) dan dua unit kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) bagi aktiviti luar pesisirnya.
Katanya, ini selaras dengan ketentuan di bawah Kontrak Pengendali Panel (PCC) untuk perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir (OSV) bagi Kontraktor Susunan Petroleum (PAC) bertarikh 9 April 2024 yang ditandatangani antara Penyewa dan KOSB (Kontrak).
"Tertakluk kepada hak penyewa di bawah Kontrak, lapan WOA yang dikeluarkan akan berlangsung antara 91 hari hingga 153 hari dari tarikh mula sijil sewa.
"WOA dijadualkan untuk dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2024 dan dianggarkan bernilai kira-kira RM130.3 juta," katanya hari ini.
Tambah Keyfield, WOA dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.
"WOA ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemegangan saham Keyfield International," ujarnya. - DagangNews.com








