Keuntungan suku pertama SP Setia susut hampir 36% ekoran penurunan aktiviti jualan tanah, kesan tukaran mata wang asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan suku pertama SP Setia susut hampir 36% ekoran penurunan aktiviti jualan tanah, kesan tukaran mata wang asing

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Mei – SP Setia Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM826.54 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat berbanding RM770.70 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, disokong oleh aktiviti pembangunan domestik yang lebih kukuh.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SP Setia berkata, keuntungan sebelum cukai kumpulan berjumlah RM107.78 juta, berbanding RM141.47 juta pada suku yang sama tahun lalu, mencerminkan persekitaran pasaran yang lebih sederhana serta perubahan dalam struktur jualan.

 

“Bagi keuntungan selepas cukai, SP Setia memperolehi RM57.65 juta, lebih rendah berbanding RM89.36 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh pengurangan transaksi jualan tanah serta kesan kerugian tukaran asing tidak direalisasi.

 

“Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham biasa turut susut kepada RM31.12 juta berbanding RM67.02 juta pada suku yang sama tahun lalu, selari dengan tekanan margin dalam tempoh semasa.

 

“Seiring itu, pendapatan sesaham asas (EPS) kumpulan turut menurun kepada 0.62 sen berbanding 1.34 sen sebelumnya dan tiada sebarang dividen diumumkan bagi suku tersebut,” katanya.

 

Menurut syarikat, prestasi jualan kekal disokong oleh permintaan stabil dalam segmen kediaman dan komersial, meskipun berdepan persekitaran kos yang mencabar.

 

Dalam tempoh sama, SP Setia turut mengekalkan disiplin kewangan dengan memberi fokus kepada pengurusan kos, aliran tunai dan pengurangan hutang.

 

Kumpulan berjaya mengurangkan pinjaman sebanyak RM500 juta, sekali gus menambah baik nisbah gearing bersih kepada 0.31 kali berbanding 0.33 kali pada akhir 2025.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Zaini Yusoff berkata prestasi suku ini mencerminkan kekuatan model operasi syarikat serta pelaksanaan strategi yang berdisiplin.

 

Beliau berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bandar berimpak tinggi, taman perindustrian hijau serta pengembangan projek di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

SP Setia turut mengekalkan sasaran jualan RM4.6 bilion bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh pelancaran projek baharu di semua wilayah utama termasuk Vietnam.

 

Prospek kumpulan kekal berhati-hati dengan mengambil kira risiko geopolitik global serta kos pembinaan, namun impak jangka pendek dijangka masih terkawal. - DagangNews.com