Keuntungan suku ketiga Magni-Tech merosot 23% akibat kerugian mata wang asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan suku ketiga Magni-Tech merosot 23% akibat kerugian mata wang asing

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mac – Magni-Tech Industries Bhd mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 23.1% bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026, susulan pendapatan lebih rendah daripada perniagaan pakaian akibat kerugian pertukaran mata wang asing yang tinggi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan bersih bagi tiga bulan tersebut berjumlah RM30.74 juta, berbanding RM39.97 juta pada tempoh yang sama sebelumnya.

 

“Hasil suku ketiga meningkat sedikit kepada RM376.35 juta daripada RM370.71 juta sebelum ini.

 

“Perniagaan pakaian syarikat merekodkan penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 25.2% kepada RM36.86 juta daripada RM49.29 juta pada 3QFY2025. 

 

“Penurunan ini disebabkan kerugian bersih pertukaran asing sebanyak RM9.27 juta dan kos operasi lebih tinggi, walaupun hasil meningkat 1.1% kepada RM355.97 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Magni-Tech mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 2.5 sen sesaham, berkurangan daripada 3.8 sen setahun lalu, menjadikan jumlah dividen setakat FY2026 sebanyak sembilan sen sesaham berbanding 31.8 sen FY2025.

 

Bagi sembilan bulan pertama FY2026, keuntungan bersih syarikat menurun 10.78% kepada RM98.58 juta daripada RM110.48 juta, manakala hasil menurun 5.02% kepada RM1.10 bilion daripada RM1.16 bilion.

 

Magni-Tech berkata syarikat kekal berhati-hati terhadap prospek perniagaan bagi suku terakhir FY2026, dengan ketegangan di Timur Tengah berpotensi mengganggu ekonomi global, menaikkan harga minyak, meningkatkan inflasi, menambah kos perdagangan dan menjejaskan pertumbuhan global. - DagangNews.com