KUALA LUMPUR 3 Feb – MISC Berhad dijangka memperkukuh portfolio syarikat dengan memasuki sektor Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) seiring dengan usaha global mengurangkan karbon dan menyokong peralihan tenaga lestari, menurut MBSB Research.
Melalui kerjasama dengan syarikat Jepun, Kawasaki Kisen Kaisha Ltd (K-Line), MISC menandatangani perjanjian sewa kapal LCO₂ (karbon dioksida cecair) baharu berkapasiti 12,000 meter padu selama 10 tahun.
Kapal LCO₂ ini dijangka siap antara separuh kedua 2028 hingga separuh pertama 2029, menyokong Fasa 2 Projek Northern Lights yang merupakan sebahagian daripada inisiatif CCS berskala penuh kerajaan Norway.
Projek Northern Lights melibatkan pengangkutan merentas sempadan karbon dioksida daripada pengeluar Eropah ke tapak simpanan bawah laut di Norway, sekali gus menyumbang kepada usaha global pengurangan karbon.
Namun, MBSB Research berkata beberapa risiko yang perlu diambil kira termasuk kelewatan pembinaan kapal, perubahan dasar kerajaan atau peraturan CCS di Eropah dan Norway, serta turun naik permintaan pengangkutan karbon dioksida yang boleh menjejaskan pulangan pelaburan jangka panjang.
ARTIKEL BERKAITAN: MISC, K Line meterai pajakan jangka panjang kapal LCO2 sokong projek CCS Norway
“Walaupun terperinci kewangan kontrak tidak didedahkan, kami menjangkakan perjanjian ini tidak akan memberi impak material kepada keuntungan MISC dalam jangka masa pendek kerana operasi kapal dijadualkan bermula pada 2028.
“Langkah ini membolehkan MISC memperoleh pendedahan awal kepada industri CCS yang dijangka berkembang seiring dengan tekanan peraturan dan usaha korporat menepati operasi berasaskan ESG.
“Dalam jangka panjang, kami melihat usaha ini berpotensi meningkatkan pendapatan kumpulan, selaras dengan pertumbuhan permintaan pengangkutan CCS di peringkat global,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Bagi tahun kewangan 2026, tiada perubahan dibuat terhadap anggaran keuntungan MISC, memandangkan sumbangan daripada segmen CCS hanya dijangka bermula dari 2028. MBSB Research juga menegaskan bahawa syarikat dijangka mencatat prospek campur-campur tetapi secara keseluruhannya adalah positif.
“Faktor sokongan lain termasuk model perniagaan MISC yang pelbagai serta peluang pertumbuhan dalam sektor tangki dan FPSO, namun sentimen positif daripada berita ini sudah pun tercermin dalam harga saham syarikat.
“Sehubungan itu, kami mengekalkan saham MISC pada penilaian Neutral dengan sasaran harga RM8.13, berdasarkan PER 15 kali kepada EPS 25 sen 54.2 sen, sedikit premium berbanding purata PER 1 tahun iaitu 14.6 kali,” katanya. - DagangNews.com








