KUALA LUMPUR 30 Jan – Konsortium MISC Bhd bersama Kawasaki Kisen Kaisha Ltd (K Line) memeterai perjanjian pajakan masa jangka panjang dengan Northern Lights JV DA bagi sebuah kapal pengangkut karbon dioksida cecair (LCO2) baharu berkapasiti 12,000 meter padu, sekali gus menandakan penglibatan strategik MISC dalam sektor tangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) komersial.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MISC berkata pajakan tersebut mempunyai tempoh tetap selama 10 tahun.
Selain itu, satu lagi perjanjian pajakan masa bagi kapal LCO2 baharu kedua dijangka akan dianugerahkan pada April 2026.
Menurut MISC, pajakan itu menyokong sebahagian keperluan Fasa 2 projek Northern Lights di Norway, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Longship — projek CCS berskala penuh oleh kerajaan Norway.
Projek ini melibatkan pengangkutan rentas sempadan karbon dioksida (CO2) daripada pelanggan di Eropah untuk disimpan secara kekal di lokasi luar pesisir di Norway.
Kapal-kapal LCO2 baharu tersebut dijadualkan untuk diserahkan antara separuh kedua 2028 hingga separuh pertama 2029.
“Pajakan ini menandakan kemasukan strategik MISC ke dalam sektor CCS komersial dan perkapalan LCO2, sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk memperluaskan kehadiran dalam penyelesaian maritim rendah karbon serta yang menyokong peralihan tenaga,” katanya.
MISC turut memaklumkan sebuah syarikat usaha sama akan ditubuhkan dan dimiliki secara sama rata oleh MISC dan K Line bagi tujuan pemilikan serta pajakan kapal-kapal LCO2 tersebut. - DagangNews.com








