Keuntungan MTT Shipping & Logistics melonjak 28% pada FY25 disokong peningkatan volum kargo, sewaan kapal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan MTT Shipping & Logistics melonjak 28% pada FY25 disokong peningkatan volum kargo, sewaan kapal

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 April – MTT Shipping and Logistics Berhad (MTTSL) mencatat pertumbuhan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 28.1% kepada RM324.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, disokong oleh peningkatan volum pengangkutan dan kadar sewaan kapal yang lebih baik.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan turut meningkat 28.7% kepada RM334.8 juta, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Hasil kumpulan naik 6.8% kepada RM1.3 bilion, meneruskan momentum pertumbuhan 7.3% yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

“Prestasi ini didorong terutamanya oleh segmen perkapalan yang kekal sebagai penyumbang utama pendapatan, disokong oleh peningkatan jumlah kargo serta kadar sewaan yang lebih kukuh,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, MTTSL merekodkan hasil sebanyak RM318.5 juta, dengan PBT RM92 juta dan PAT RM89 juta.

 

Segmen perkapalan menyumbang kira-kira 97% daripada jumlah hasil kumpulan, manakala selebihnya disumbangkan oleh segmen depot kontena.

 

Laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei kekal sebagai penyumbang hasil terbesar, mewakili kira-kira 40% daripada jumlah pendapatan kumpulan.

 

Menurut syarikat, prestasi itu turut disokong oleh keadaan bekalan kapal yang masih terhad serta mekanisme pemindahan kos bahan api yang membantu mengekalkan margin.

 

Syarikat itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 April 2026 dengan modal pasaran sebanyak RM2.6 bilion berdasarkan harga IPO RM1.03 sesaham.

 

MTTSL merancang dasar dividen dengan sasaran agihan sekurang-kurangnya 50% daripada PAT yang diagihkan kepada pemegang saham selepas penyenaraian.

 

Selain itu, kumpulan sedang melaksanakan strategi kepelbagaian termasuk penambahan kapal pengangkut bahan kimia yang dijangka dihantar pada separuh kedua 2026.

 

Kumpulan juga memperkukuh rangkaian logistik bersepadu menerusi pembangunan pusat operasi baharu di Pulau Indah dan Kota Kinabalu bagi menyokong penggunaan armada serta pertumbuhan masa depan.- DagangNews.com