KUALA LUMPUR 3 Mac — Untung bersih teras setahun penuh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) berada di bawah jangkaan, akibat faktor bil pembangunan hartanah yang lebih rendah serta pelupusan Menara CelcomDigi dan Plaza Alam Sentral.
CIMB Securities Sdn Bhd berkata, pendapatan teras MRCB sebanyak RM64 juta bagi tahun kewangan 2024 (FY24) adalah kira-kira sembilan peratus di bawah anggaran firma berkenaan dan sebanyak 18 peratus di belakang konsensus.
Bagaimanapun, bersempena dengan pengumuman keputusan FY24, MRCB kemudian turut mendedahkan, kumpulan itu telah memperoleh kontrak untuk melaksanakan Fasa 2 projek transit aliran ringan (LRT) 3 yang bernilai sebanyak RM2.5 bilion.
Skop kerja MRCB melibatkan pembinaan sejumlah lima stesen yang dipulihkan, dua depoh bas jenis kenderaan elektrik (EV) di Shah Alam dan Johan Setia, pembekalan kenderaan rel ringan, serta lain-lain infrastruktur dan kerja sistem berkaitan.
CIMB Securities berkata, MRCB sedang dalam rundingan lanjutan untuk kerja-kerja pembangunan semula Stadium Shah Alam dan KL Sentral bernilai RM2 hingga RM3 bilion serta sedang mengintai peluang baharu di bawah program Solar Skala Besar (LSS) Petra 5+.
Kumpulan itu juga sedang memohon tender untuk mendapatkan pekerjaan bernilai RM1.6 bilion termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau, serta pra-kelayakan untuk beberapa projek tebatan banjir dan infrastruktur air bernilai RM1 bilion.
"Secara keseluruhannya, kumpulan itu sedang mencari peluang untuk mendapatkan sehingga RM6 bilion nilai kontrak baharu sepanjang FY25," katanya dalam satu nota.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat itu dengan harga sasaran yang lebih rendah sebanyak 83 sen sahaja daripada sebelumnya iaitu 96 sen.
Ia juga mengurangkan pendapatan MRCB masing-masing sebanyak 40 peratus dan 21 peratus untuk FY26 dan FY27 yang diunjurkannya sebelum ini.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan sumbangan material daripada kontrak LRT 3 Fasa 2 — selain penukaran progresif bida sabitan lebih tinggi yang lain — untuk menyokong kebangkitan semula dalam FY26 dijangka memacu keuntungan teras kepada RM68 juta, meningkat lagi kepada RM108 juta pada FY27," tambahnya. - DagangNews.com








