Keuntungan bersih TRC Synergy bagi 1QFY26 susut 68% akibat sumbangan segmen pembinaan lebih lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan bersih TRC Synergy bagi 1QFY26 susut 68% akibat sumbangan segmen pembinaan lebih lemah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 Mei - TRC Synergy Berhad mencatatkan penyusutan 68.48% keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 kepada RM1.69 juta, berbanding RM5.37 juta pada tempoh sama FY25.

 

Katanya, penurunan ketara tersebut sebahagian besar berpunca daripada faktor kekurangan sumbangan menerusi segmen pembinaan susulan penyiapan beberapa projek pada tahun kewangan sebelum ini.


Selain itu, projek-projek pembinaan baharu yang dimenangi pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini masih berada di peringkat awal, sekali gus memberikan sumbangan secara minimum buat masa ini.


"Pendapatan kumpulan bagi 1QFY26 turut mencatatkan penurunan 43.39% kepada RM73.22 juta berbanding RM129.35 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya," maklum TRC Synergy kepada Bursa Malaysia. 


Di samping faktor itu, penurunan keuntungan operasi kumpulan turut dipengaruhi pendapatan lain didapati lebih rendah, dan kerugian pertukaran mata wang asing (forex) yang belum direalisasikan.


Pada masa sama jelas kumpulan berkenaan, pendapatan kewangan yang berkurangan serta sumbangan negatif daripada projek secara usaha sama (JV) juga dikenal pasti menjejaskan keuntungan suku itu.


 

TRC Synergy_DagangNews2026



Bagaimanapun, prestasi hambar segmen pembinaan ini berjaya diimbangi sebahagiannya oleh jualan bahagian pembangunan hartanah TRC Synergy yang sudah siap dan lebih tinggi dalam tempoh tersebut.


"Melihat kepada prospek masa depan, kumpulan ini masih lagi kekal optimis dengan kekuatan buku tempahan yang kini berjumlah RM1.27 bilion setakat suku pertama 2026," tambah makluman berkenaan.


Perkembangan positif ini jelasnya, termasuk kejayaan kumpulan memperoleh projek pembinaan bangunan kompleks pejabat dan gudang di Putrajaya dengan nilai berjumlah RM249 juta pada Januari 2026.


Justeru TRC Synergy menjangka sektor pembinaan mendapat manfaat inisiatif infrastruktur kerajaan seperti projek rel transit ringan (LRT) di Pulau Pinang, dan transit pantas autonomi (ART) di Johor Bahru. 


Di bawah segmen hartanah, permintaan terhadap perumahan mampu milik kekal positif dengan projek Ara Sentral Fasa 2 dan 3 berjalan mengikut jadual sebelum dilancarkan pada akhir suku keempat.


"Disokong buku tempahan kukuh dan aliran tender stabil, pihak pengurusan menyatakan keyakinan dalam mencapai keputusan kewangan secara mampan bagi tahun ini," katanya. - DagangNews.com