KUALA LUMPUR 20 Mei – Solarvest Holdings Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026, didorong terutamanya sumbangan lebih kukuh projek utiliti.
Penyedia rumusan tenaga bersih itu melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 23.1% kepada RM24.84 juta bagi tiga bulan tersebut, berbanding RM20.17 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan syarikat berkenaan bagi suku terakhir FY26 itu turut mencatatkan pertumbuhan kira-kira 19.5% kepada sebanyak RM268.66 juta, daripada hanya RM224.87 juta yang pernah direkodkan sebelumnya.
"Prestasi positif ini turut dijana menerusi permulaan beberapa projek di bawah solar berskala besar fasa kelima (LSS5) selain pelaksanaan Program Penjana Tenaga Hijau Korporat (CGPP)," kata Solarvest.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut memberitahu keuntungan yang lebih tinggi sepanjang suku tinjauan berkenaan juga disumbangkan daripada beberapa syarikat bersekutunya.
Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26), keuntungan bersih melonjak kira-kira 53.9% kepada RM82.08 juta, manakala pendapatan tahunan meningkat 41.0% mencecah RM757.09 juta.
Melangkah ke hadapan, Solarvest menyatakan pihak pengurusan kumpulan tersebut masih lagi kekal optimis terhadap prospek masa depan industri tenaga boleh diperbaharui (RE) di pasaran Malaysia.
"Setakat 31 Mac 2026, kumpulan ini mempunyai buku tempahan belum dibil berjumlah RM2.47 bilion yang akan diiktiraf secara progresif bagi tahun kewangan 2027 dan 2028," jelas kenyataan itu.
Syarikat juga bersedia memanfaatkan peluang daripada inisiatif akan datang seperti fasa keenam program LSS (LSS6) dan Skim Pembekalan RE Korporat (CRESS) yang dijangka memangkin permintaan.
Sehingga kini, Solarvest berjaya mengendalikan lima aset solar skala utiliti dengan jumlah kapasiti pemilikan efektif 120.74 MWp, yang menyumbang aliran pendapatan berulang kumpulan. - DagangNews.com
Keuntungan bersih Solarvest naik 23% kepada RM25 juta bagi 4QFY26 dipacu banyak projek utiliti

Oleh AMREE AHMAD







