Keuntungan bersih Ajiya mencecah RM37.5 juta bagi FY25, dipacu pendapatan bukan operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan bersih Ajiya mencecah RM37.5 juta bagi FY25, dipacu pendapatan bukan operasi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 FebAjiya Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM37.49 juta bagi FY25, namun tiada perbandingan dengan FY24, susulan pertukaran tarikh akhir tahun kewangan kepada 31 Disember. 


Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh pendapatan bukan operasi, merangkumi keuntungan nilai saksama atas pelaburan saham, keuntungan daripada pelupusan hartanah, serta pendapatan faedah.


Bagi tahun kewangan yang ditinjau tersebut, kumpulan penyedia bahan binaan ini berjaya merekodkan perolehan sebanyak RM306.47 juta dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM46.31 juta.


"Pencapaian positif ini turut disokong oleh faktor sumbangan stabil daripada bahagian teras produk logam dan kaca keselamatan," kata Ajiya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 


Tambahnya, untuk tempoh suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2025 pula, kumpulan tersebut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.00 juta daripada hasil berjumlah RM70.77 juta.


Bagaimanapun jelasnya, prestasi operasi pada suku tersebut turut dipengaruhi oleh hapus kira hutang lapuk dan inventori, selain kerugian yang dicatatkan oleh beberapa anak syarikat sepanjang tahun.


Selain itu, dari segi kedudukan kewangan, Ajiya berupaya mengekalkan asas yang kukuh dengan ekuiti pemegang saham sebanyak RM656.5 juta dan nilai aset bersih sesaham mencatatkan kira-kira RM1.88.
 

Ng Wai Luen Ajiya
NG WAI LUEN


"Kumpulan ini juga mengamalkan disiplin struktur modal konservatif dengan jumlah pinjaman yang disifatkan sebagai rendah, iaitu hanya sebanyak RM13.20 juta," kata kenyataan syarikat berkenaan.


Pengarah Eksekutifnya, Ng Wai Luen ketika mengulas prestasi FY25 berkata, ia mencerminkan kekuatan pembuatan teras serta manfaat integrasi ke dalam ekosistem 'IntraBuild' Chin Hin Group Berhad.


Beliau menekankan bahawa Ajiya memainkan peranan kritikal dalam membekalkan bahan berkualiti tinggi dan rumusan sejajar ESG bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek dalam kumpulan tersebut.


Melangkah ke depan katanya, syarikat fokus kepada pengukuhan operasi dan pengembangan segmen produk yang bernilai tinggi, terutama kaca keselamatan cekap tenaga dan sistem logam termaju. 


"Dengan lembaran imbangan yang kuat dan penjajaran strategik jelas, kami berada pada kedudukan baik menyampaikan pertumbuhan mampan serta menyumbang secara bermakna," tambah Wai Luen.


Ajiya juga jelasnya, akan membina platform yang mampan di samping bekerjasama dengan Chin Hin Building Materials dalam melancarkan rumusan bangunan cekap tenaga CoolPro. - DagangNews.com