KUALA LUMPUR 10 Mac — Ketidaktentuan berkaitan pemenuhan syarat terdahulu bagi pelaburan dalam rangkaian 5G nasional terus menjadi isu utama yang membayangi prospek CelcomDigi Berhad.
Menurut RHB Research, proses pengiktirafan pegangan ekuitinya dalam Digital Nasional Berhad (DNB) masih belum boleh dilaksanakan kerana terdapat beberapa syarat terdahulu yang belum dipenuhi.
Firma penyelidikan tersebut menambah, usaha itu dijangka tidak selesai sebelum Jun 2026 dan pihak pengurusan kumpulan itu memberi petunjuk kesan pencairan pendapatan akibat daripada kerugian DNB.
"Ia dijangka kurang 5% bagi FY26, berikutan usaha secara berterusan untuk mengoptimumkan struktur kos syarikat rangkaian teknologi telekomunikasi 5G tersebut," katanya dalam analisis hari ini.
Justeru, RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham CelcomDigi dengan harga sasaran (TP) RM3.50 yang berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF), merangkumi premium ESG 6%.
Jelas firma tersebut, kumpulan itu baru-baru ini sudah selesai membuat pembayaran sebanyak RM328 juta pada 6 Mac 2026 bagi melaksanakan opsyen jualan yang dimiliki Kementerian Kewangan (MoF).
Pembayaran berkenaan tambahnya, mewakili bahagian berkadar oleh kumpulan tersebut dalam pinjaman, ekuiti, dan pendahuluan pemegang saham berkaitan kepentingan yang ditetapkan DNB sekitar 33%.
"Kerugian DNB menunjukkan ada penambahbaikan, dengan kerugian selepas cukai mencecah RM1.2 bilion pada FY24, dan dijangka susut kurang RM500 juta berikutan langkah rasionalisasi kos," katanya.

Dalam masa yang sama jelas RHB Research, pengurusan CelcomDigi tidak menolak kemungkinan suntikan ekuiti tambahan ke dalam DNB pada masa hadapan bagi menyokong lagi peningkatan kapasiti rangkaian.
Model operasi DNB juga tambahnya, ketika ini lebih menjurus kepada pendekatan aset ringan, dengan penggunaan tapak rangkaian yang sudah dipajak daripada pengendali rangkaian mudah alih (MNO).
Usaha itu turut sejajar perubahan dasar kawal selia industri telekomunikasi, dan firma tersebut menjangkakan tahun kewangan 2026 akan menjadi tempoh peralihan bagi CelcomDigi kepada lebih baik.
"Kami yakin prestasi kumupulan itu mampu kukuh berikutan pelaksanaan naik taraf sistem teknologi maklumat (IT) serta perkembangan berkaitan kawal selia sektor telekomunikasi," kata RHB Research.
Buat masa ini, firma itu mengekalkan unjuran kewangan CelcomDigi tanpa perubahan kerana masih belum lagi dimasukkan kesan kerugian DNB dalam model penilaian sehingga terdapat kejelasan lanjut.
Menurutnya, kelewatan pengiktirafan kerugian mungkin memberi kesan positif sementara kerana DNB kini menunjukkan pengurangan kerugian operasi selain melaksanakan program pengoptimuman kos.
Bagaimanapun RHB Research memberi amaran antara risiko utama kepada prospek syarikat itu termasuk persaingan sengit dalam sektor telekomunikasi, dan prestasi pendapatan atau dividen lebih lemah.
"Di samping itu, masalah kelewatan dalam kumpulan tersebut merealisasikan sinergi integrasi serta kemungkinan perubahan dasar kawal selia juga boleh menjejaskan CelcomDigi," jelasnya. - DagangNews.com








