KUALA LUMPUR 29 April — Ketidaktentuan pendapatan daripada aktiviti pelaburan dilihat menjadi faktor utama turun naik margin keuntungan Fiamma Holdings Berhad, menurut Mercury Securities.
Firma penyelidikan tersebut namun berkata, perniagaan teras kumpulan itu yang masih stabil terus menyokong prospek jangka panjang selepas prestasi syarikat bagi FY25 menunjukkan ada pemulihan.
Ujarnya, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta keuntungan sebelum cukai (PBT) yang tinggi, sebahagian besarnya disokong oleh pelbagai hasil berbeza.
"Bagaimanapun, sumber pendapatan itu bersifat tidak konsisten, sekali gus menyebabkan turun naik margin untung Fiamma untuk beberapa tahun kebelakangan ini," jelas Mercury Securities dalam notanya.
Pada masa sama, segmen perdagangan dan perkhidmatan kekal sebagai tunjang utama, menyumbang lebih 86% hasil kumpulan, dipacu permintaan berterusan terhadap produk keperluan isi rumah yang stabil.
Model perniagaan pelbagai segmen kata firma itu, membolehkannya mengekalkan keseimbangan antara pendapatan, kitaran dan secara berulang, serta meningkatkan daya tahan keuntungan keseluruhan.

Dari segi prospek masa depan, Mercury Securities menjangkakan keuntungan teras Fiamma berkembang amat positif pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) kira-kira 21% bagi FY26 hingga FY28.
"Situasi pada tiga tahun kewangan ini akan disokong menerusi pertumbuhan hasil yang sederhana sekitar 4% serta penambahbaikan campuran produk bagi mengekalkan momentum pendapatan," tambahnya.
Selain itu, kekuatan jenama dalaman seperti Elba, Faber dan Rubine terus mengukuhkan kedudukan pasaran, dengan Elba muncul sebagai peneraju dalam segmen peralatan memasak berskala besar di Malaysia.
Mercury Securities turut menilai persekitaran industri masih kekal menyokong perniagaan Fiamma, dengan peningkatan perbelanjaan isi rumah, kepesatan urbanisasi dan trend peningkatan gaya hidup.
Justeru ia meletakkan nilai wajar kumpulan ini pada RM1.32 sesaham, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 13.67 kali bagi FY27, sejajar purata sejarah rakan setara dalam sektor pengguna.
"Kelembapan perbelanjaan pengguna, turun naik kadar pertukaran asing, persaingan sengit serta ketidaktentuan dalam segmen hartanah antara risiko syarikat ini," katanya. - DagangNews.com








