Ketidaktentuan harga gas global berisiko terus tekan margin Gas Malaysia, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan harga gas global berisiko terus tekan margin Gas Malaysia, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Mei – Ketidaktentuan harga gas global susulan kelembapan ekonomi dunia dan konflik geopolitik dijangka terus memberi tekanan kepada margin keuntungan Gas Malaysia Berhad sendiri.


Menurut MBSB Research, situasi pada kali ini menyebabkan kos perolehan gas dan permintaan industri kekal tidak stabil sehingga turut menjejaskan keuntungan syarikat tersebut bagi suku pertama FY26.


Firma penyelidikan itu berkata, keadaan pasaran gas yang rapuh dijangka terus menjejaskan prestasi kumpulan walaupun permintaan domestik daripada kilang dan isi rumah masih menunjukkan daya tahan.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan lagi saranan 'neutral' terhadap saham Gas Malaysia, namun harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM5.54 berbanding RM4.48 sebelum ini," jelasnya dalam analisis.


Tambah MBSB Research, keuntungan teras bagi tiga bulan pertama tahun kewangan 2026 kumpulan itu susut 7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM93 juta, manakala hasil merosot 14% kepada RM1.4 bilion.


Prestasi lebih lemah itu jelasnya, disebabkan penurunan purata margin sumbangan daripada gas asli, dan peningkatan kos pentadbiran, walaupun sebahagian diimbangi peningkatan jumlah jualan gas asli.


Justeru, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan harga gas global yang akan terus tidak menentu dikhuatiri memberi kesan kepada kos perolehan serta permintaan industri tersebut pada tahun ini.


"Selain itu, kami mendapati risiko kenaikan harga bahan mentah dan gangguan rantaian stok akibat konflik di Timur Tengah turut menambah tekanan kepada sektor tenaga global," kata MBSB Research.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Gas Malaysia jatuh kepada RM92.8 juta bagi 1QFY26 selari kemerosotan harga jualan

 

Dalam pada itu, ia menjangkakan Gas Malaysia kemungkinan terus memberi tumpuan kepada disiplin kos selaras dengan kerangka 'Incentive-Based Regulation' (IBR) bagi mengurus ketidaktentuan pasaran.


Ujarnya, kumpulan juga dijangka meneruskan transformasi daripada syarikat utiliti gas tradisional kepada penyedia tenaga menyeluruh menerusi pelaburan dalam sistem 'Combined Heat and Power' (CHP).


Langkah jangka panjang berkenaan jelas MBSB Research, menunjukkan usaha syarikat gas tersebut untuk mempelbagaikan produk tenaga dengan menawarkan pelbagai rumusan yang lebih bersih dan cekap.


"Bagaimanapun, kami masih lagi menjangkakan pendapatan Gas Malaysia kekal mendatar sepanjang tahun ini memandangkan syarikat masih dalam fasa pengembangan infrastruktur tenaga hijau," jelasnya.


Susulan keputusan kewangan yang lemah bagi 1QFY26, firma penyelidikan tersebut menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan berkenaan pada FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 17% dan 21%.


Kata MBSB Research, walaupun TP dinaikkan berdasarkan penilaian semula sektor utiliti, ia berpandangan potensi kenaikan harga saham syarikat tersebut masih terhad dalam tempoh terdekat.


Keadaan tersebut ujarnya, berikutan ketiadaan pemangkin pendapatan segera, penyusutan margin gas dan ketidakstabilan rantaian bekalan global. - DagangNews.com