KUALA LUMPUR 22 Mei — Ketegangan geopolitik yang berlarutan di Timur Tengah terus mencetuskan tekanan ke atas rantaian bekalan global dan meningkatkan kos logistik, menurut MBSB Research.
Bagaimanapun, situasi itu dilihat memberi kelebihan kepada PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) apabila harga bahan mentah serta produk petrokimia kekal disokong pada paras yang lebih tinggi.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM6.60 sesaham selepas prestasi kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) memenuhi jangkaan firma penyelidikan tersebut.
"Untung teras PCG bagi 1QFY26 naik 107% tahun ke tahun (YoY) kepada RM360 juta, dipacu peningkatan produk, sumbangan segmen khusus serta kos rendah operasi loji," kata MBSB Research dalam nota.
Hasil kumpulan namun susut 8% kepada RM7 bilion berikutan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), selain sumbangan berkurangan daripada entiti operasi bersama.
Meskipun jatuh ujarnya, kadar penggunaan loji pula naik kepada 97% berbanding 94% setahun lalu, mencerminkan prestasi operasi yang lebih baik dengan peningkatan pengeluaran dan jumlah jualan.
MBSB Research berkata, segmen olefin dan derivatif (O&D) masih berdepan cabaran apabila merekodkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM401 juta, susut 11% berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Pendapatan segmen itu merosot 16% kepada RM2.9 bilion disebabkan sumbangan rendah daripada entiti operasi bersama, penyusutan nilai dolar AS dan jurang produk yang lebih lemah," jelas firma itu.

Menurutnya, tekanan harga segmen O&D dijangka berterusan apabila pengeluar hiliran mengurangkan tempahan kerana kekangan kemampuan, sekali gus terdedah kepada turun naik harga minyak global.
Sebaliknya, segmen fertilizer dan metanol (F&M) menjadi pemacu pertumbuhan PCG apabila hasil naik 6% kepada RM2.6 bilion, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 27% kepada RM794 juta.
Prestasi itu kata MBSB Research, disokong peningkatan jualan, dan harga produk tinggi, manakala kadar penggunaan loji F&M naik kepada 103% berbanding 98% sebelumnya, dengan operasi lebih cekap.
"Kami menjangka segmen ini terus meraih permintaan pertanian global yang kukuh, khususnya dari India dan Australia, selain kekangan bekalan baja dan metanol di beberapa pasaran utama," katanya.
Ujarnya, pasaran baja kekal ketat susulan sekatan eksport oleh negara pengeluar utama, dan bekalan metanol serantau dijangka terhad berikutan kerja penyelenggaraan berjadual loji di rantau ASEAN.
Pada masa sama jelas MBSB Research, segmen 'specialties' PCG pulih apabila PAT naik kepada RM121 juta berbanding kerugian RM142 juta sebelum ini meskipun hasil susut 14% kepada RM1.4 bilion.
Ia didorong pendapatan lain lebih tinggi daripada penjualan hak pelepasan karbon, pengurangan kos operasi, pergerakan pertukaran asing serta keuntungan pelupusan pelaburan dalam sebuah subsidiari.
"Walaupun prospek jangka pendek bagi segmen O&D dan 'specialties' masih berhati-hati berikutan ketidaktentuan global, kami menilai PCG berada pada landasan untuk mengekalkan prestasi," katanya.
Firma penyelidikan itu namun tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan syarikat selepas keputusan 1QFY26 diumumkan. - DagangNews.com








