KUALA LUMPUR 13 Mac – Ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi melonjakkan harga tenaga, dijangka menjadi antara risiko utama kepada sentimen pengguna Malaysia pada tahun ini.
Menurut MBSB Research, aktiviti perdagangan runcit negara ini masih menunjukkan daya tahan kukuh pada awal 2026, namun peningkatan harga minyak global boleh memberi tekanan rantaian lebih luas.
Firma penyelidikan itu berkata, ini terutama kos pengangkutan, logistik dan harga barangan pengguna, sekali gus berpotensi menjejaskan momentum perbelanjaan isi rumah dalam tempoh terdekat.
"Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perdagangan pengedaran Malaysia berkembang 7.3% tahun ke tahun (YoY) pada Januari 2026," tambahnya dalam nota analisis hari ini.
Angka berkenaan jelas MBSB Research, adalah sedikit perlahan berbanding kira-kira 7.6% dicatatkan pada Disember 2025, tetapi masih mencerminkan prestasi kukuh yang merentas semua segmen utama.
Tambah firma tersebut, pertumbuhan berkenaan dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak sebanyak 17.3% YoY, diikuti perdagangan runcit (6.1% YoY) serta perdagangan borong (6.0% YoY).
Dari segi volum, perdagangan pengedaran berkembang 5.8% YoY, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen kenderaan bermotor (15.9% YoY), perdagangan runcit (3.7% YoY) dan borong (6.1% YoY).
"Subsektor runcit mencatat prestasi yang positif termasuk e-dagang (9.0% YoY), kedai bukan khusus (7.9% YoY) dan jualan bahan api automotif di kedai khusus (7.0% YoY)," kata MBSB Research.

Segmen kenderaan bermotor pula berkembang pesat, didorong peningkatan perbelanjaan penyelenggaraan dan pembaikan motosikal serta komponennya (32.7% YoY) selain pembaikan kenderaan (25.9% YoY).
Bagi perdagangan borong, disokong aktiviti borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (9.4% YoY), barangan isi rumah (7.7% YoY) serta perkhidmatan borong berasaskan kontrak (7.0% yoy).
Mengulas prospek tahun ini, MBSB Research menjangkakan jualan runcit Malaysia masih adalah kekal stabil sekitar 6.0% pada 2026, iaitu hampir menyamai 6.1% yang pernah direkodkan DOSM pada 2025.
"Perbelanjaan pengguna dijangka kukuh pada suku pertama 2026, disokong musim perayaan, pelarasan gaji sektor awam serta bantuan tunai kerajaan termasuk pembayaran pada Mac," kata firma tersebut.
Selain itu, asas ekonomi domestik yang kukuh, pasaran buruh stabil, kenaikan gaji serta pemulihan sektor pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia turut dijangka menyokong permintaan domestik.
Pada masa sama kata MBSB Research, inflasi Malaysia kekal terkawal dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.6% YoY pada Januari 2026, manakala inflasi teras berada mencecah 2.3% YoY
Bagaimanapun, ia menjangkakan inflasi berpotensi naik sedikit kepada 1.8% pada 2026 berbanding 1.4% pada 2025, jika kenaikan harga tenaga melibatkan kos pengangkutan dan barangan pengguna.
“Walaupun tekanan inflasi berpotensi meningkat, tahapnya diramal masih lagi sederhana dan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah serta permintaan domestik,” kata firma penyelidikan berkenaan.
Secara keseluruhan, MBSB Research menilai enjin permintaan domestik Malaysia kekal teguh, namun perkembangan geopolitik global dan harga tenaga sebagai risiko utama yang perlu dipantau. - DagangNews.com








