KUALA LUMPUR 7 April – Ketegangan yang berterusan di Timur Tengah antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran mendorong beberapa syarikat besar pengendali pusat data untuk mempertimbangkan pemindahan operasi ke Asia, termasuk Malaysia, kata RHB Research.
Risiko keselamatan pekerja, gangguan operasi dan rantaian bekalan membuatkan syarikat-syarikat besar itu perlu menilai semula lokasi operasi mereka di Timur Tengah.
RHB Research berkata Malaysia berpeluang mendapat manfaat itu khususnya Johor yang mempunyai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura kerana menawarkan kemudahan dan insentif yang banyak untuk pelabur.
“Johor kini menduduki tangga teratas dalam Indeks Kematangan Pusat Data Asia Pasifik oleh Cushman & Wakefield, mengatasi bandar besar lain seperti Tokyo dan Beijing.
“Kos pembangunan pusat data bersaiz sederhana di Malaysia dianggarkan AS$9.6 juta setiap megawatt, lebih rendah berbanding Jepun, Singapura, Korea Selatan, Australia dan Hong Kong, dan hanya sedikit lebih tinggi berbanding Thailand dan New Zealand,” kata RHB Research dalam nota kajiannya hari ini.
Sejak Julai 2025, Tenaga Nasional Berhad memperkenalkan struktur tarif baharu yang menyebabkan pusat data menanggung kos elektrik 10 hingga 15 peratus lebih tinggi sebelum sebarang surcaj. Had maksimum surcaj ditetapkan pada tiga sen setiap kilowatt jam.
RHB Research menganggarkan bil elektrik bulanan bagi pusat data bersaiz 100 megawatt dengan nisbah penggunaan kuasa 1.2 boleh meningkat kira-kira tujuh peratus jika surcaj maksimum dikenakan. Rebat terkini pula boleh menurunkan sedikit kos bil.
“Malaysia dijangka mempunyai kapasiti pembangunan pusat data sebanyak 3,252 megawatt sehingga tahun 2030. Berdasarkan kos pembangunan rendah AS$6.9 juta setiap megawatt, nilai projek boleh mencapai kira-kira AS$22.4 bilion atau lebih kurang RM90 bilion,” katanya.
Namun, beberapa risiko yang ada termasuk kekurangan helium untuk semikonduktor yang digunakan dalam pusat data. Sekitar satu pertiga bekalan global datang dari Qatar, menjadikan sektor ini sensitif terhadap ketegangan geopolitik.
Harga bahan binaan juga boleh meningkat selari dengan harga tenaga global, tetapi risiko ini berlaku juga di negara lain dan bukan hanya kepada Malaysia.
RHB Research mengekalkan penarafan Overweight terhadap sektor ini dengan tiga pilihan utama saham iaitu Gamuda dengan harga sasaran RM6.26, Sunway Construction (RM7.96) dan Binastra RM2.72).
Saham lain seperti IJM, Kerjaya Prospek dan Pintaras Jaya turut menunjukkan potensi kukuh.
Secara keseluruhan, Malaysia mengekalkan daya tarikan sebagai lokasi pembangunan pusat data di Asia kerana kos pembangunan yang kompetitif, kestabilan politik dan sokongan infrastruktur yang baik.
Walaupun terdapat risiko geopolitik dan kekurangan komponen kritikal, peluang pelaburan dalam sektor pembinaan, khususnya pembangunan pusat data, masih lebih tinggi daripada risikonya. Johor dijangka terus menjadi hab utama pusat data di Asia Tenggara. - DagangNews.com








