KUALA LUMPUR 27 Ogos - MBSB Research mengekalkan saranan BELI terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB), susulan rangka kerja tarif terbaharu di bawah RP4 yang menyediakan kestabilan dan ketelusan lebih kukuh, khususnya melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) dinamik.
Mekanisme ini menghapuskan kelewatan dalam pemulihan kos bahan api sekali gus melindungi TNB daripada turun naik harga bahan api.
Permintaan elektrik juga dijangka kekal kukuh tahun ini, dengan unjuran pertumbuhan antara 3.5% hingga 4.5%.
“Kami baru-baru ini melawat Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz (SJTM) di Port Dickson, yang menempatkan dua unit loji janakuasa arang batu 1,000MW milik dan dikendalikan oleh anak syarikat TNB sebanyak 70%, Jimah East Power Sdn Bhd (JEP),” kata MBSB.
Baki 30% pegangan dimiliki 3B Power Sdn Bhd, subsidiari kepada Mitsui & Co Ltd dan The Chugoku Electric Power Co Inc.
Unit pertama SJTM mula beroperasi secara komersial pada Ogos 2019 manakala unit kedua pada Disember 2019, kira-kira empat tahun selepas pembinaan bermula pada November 2015.
Dibina di atas tanah tebus guna seluas 257 ekar, jumlah kos projek mencecah RM12.1 bilion, dibiayai melalui gabungan hutang dan ekuiti.
SJTM mencatat kecekapan sehingga 43% berbanding sekitar 35% bagi loji janakuasa terma konvensional. Ia mampu menjana 2,000MW tenaga, iaitu bersamaan 10% daripada permintaan elektrik Semenanjung Malaysia atau sekitar dua juta isi rumah.
Bekalan arang batu SJTM disediakan oleh TNB Fuel Sdn Bhd, kebanyakannya dari Indonesia (98%). Penggunaan tahunan loji ini adalah kira-kira lapan juta metrik tan, bersamaan lapan kapal Panamax sebulan.
Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), TNB melaksanakan projek Renewable Energy Applications for Clean Hydrogen (REACH).
Masih dalam fasa perintis, REACH bertujuan menilai potensi hidrogen hijau digunakan secara langsung di tapak bagi tujuan penyejukan penjana serta aplikasi praktikal lain.
Di SJTM, TNB telah memasang solar bumbung 500kWp serta sistem simpanan tenaga bateri (BESS) 1MWh untuk menyokong pengeluaran hidrogen hijau.
Projek REACH berupaya menghasilkan 132,000 meter padu hidrogen hijau setahun, namun hanya 25,000 meter padu diperlukan untuk kegunaan dalaman stesen, khususnya bagi penyejukan penjana.
Inisiatif ini berpotensi menjadi aliran pendapatan baharu kepada TNB jika dikomersialkan pada masa depan. Difahamkan, pembeli bersedia membayar antara AS$4 hingga AS$6 sekilogram bagi hidrogen hijau, berbanding AS$1 hingga AS$2 untuk hidrogen kelabu.

Bagaimanapun, harga saham TNB merosot sejak sebulan lalu ekoran kebimbangan terhadap pertikaian cukai selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan memihak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung cukai tertunggak RM1.25 bilion bagi tahun taksiran 2018.
Pada 2 Julai lalu, mahkamah memutuskan bahawa bagi TNB, jadual yang terpakai ialah 7B (Elaun Pelaburan) dan bukannya 7A (Elaun Pelaburan Semula).
MBSB Research tidak menjangkakan sebarang peruntukan sekali gus dibuat pada suku ini, justeru tidak akan menjejaskan pembayaran dividen bagi separuh pertama tahun kewangan 2025. - DagangNews.com








