KESM Industries kembali catat untung bersih RM3.6 juta bagi 2QFY26 didorong permintaan cip AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KESM Industries kembali catat untung bersih RM3.6 juta bagi 2QFY26 didorong permintaan cip AI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MacKESM Industries Berhad berjaya mencatatkan pemulihan kewangan yang ketara dengan merekodkan keuntungan bersih RM3.59 juta bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2026 (2QFY26).


Kumpulan tersebut menambah, prestasi memberangsangkan ini merupakan pusingan balik daripada kerugian bersih RM2.99 juta yang pernah dialami dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.


Pemulihan ini didorong terutamanya peningkatan permintaan pasaran, keuntungan pelupusan hartanah, loji dan peralatan berjumlah RM2.3 juta, serta pengurangan kos utiliti sebanyak RM1.5 juta.


"Pendapatan suku tahunan juga meningkat 7% kepada RM54.9 juta berbanding RM51.4 juta pada 2QFY25 berikutan permintaan yang lebih baik," kata KESM dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu jelas kumpulan berkenaan, keuntungan bersih selama enam bulan (1HFY26) mencatatkan RM5.44 juta, berbanding kerugian bersih RM7.52 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.


Tambahnya, peningkatan permintaan bagi perkhidmatan pemprosesan cip berkaitan kecerdasan buatan (AI) menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi tempoh enam bulan tersebut.


Dari segi kecekapan operasi kata KESM, perbelanjaan faedah pekerja susut 6% kepada RM41.1 juta, manakala kos utiliti serta pembaikan dan penyelenggaraan mencatatkan pengurangan RM4.4 juta.


"Kumpulan turut menerima pampasan sebanyak RM1.2 juta bagi pesanan minimum yang tidak dipenuhi serta keuntungan nilai saksama bersih ke atas sekuriti pelaburan sebanyak RM1.2 juta," jelasnya.


Mengulas mengenai prospek masa hadapan pula, ia menyatakan bahawa permintaan pasaran yang diterajui oleh teknologi AI dijangka kekal kukuh, terutamanya bagi aplikasi AI dan pusat data (DC).


KESM tegasnya kekal komited menyokong keperluan kapasiti pelanggan dan memastikan dilakukan tepat pada masanya bagi memanfaatkan pertumbuhan pasaran semikonduktor global. - DagangNews.com