KUALA LUMPUR 16 April – LBS Bina Group Bhd memaklumkan anak syarikatnya telah menyelesaikan satu kes mahkamah berkaitan dakwaan hutang berjumlah RM43.03 juta dengan bayaran RM7 juta sahaja.
Penyelesaian tersebut dimeterai antara anak syarikatnya, Gerbang Mekar Sdn Bhd dan Mega Planner Jaya Sdn Bhd menerusi satu penghakiman persetujuan (consent judgment) yang direkodkan pada 15 April 2026.
Kes berkenaan melibatkan Gerbang Mekar yang masih mempunyai baki bayaran tertunggak kepada Mega Planner Jaya berhubung urus niaga hartanah di Setapak, Kuala Lumpur yang berlaku pada tahun 2014.
Pada ketika itu, Gerbang Mekar memperoleh unit pusat beli-belah, unit rumah kedai serta petak parkir runcit daripada Mega Planner Jaya, dengan jumlah keseluruhan yang dipertikaikan oleh pihak plaintif.
Mega Planner Jaya yang kini berada dalam proses likuidasi mendakwa baki RM43.03 juta daripada nilai transaksi tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Bagaimanapun, LBS Bina Group Bhd hanya mengambil alih keseluruhan pegangan dalam Gerbang Mekar pada Mac 2018 dengan nilai RM12 juta, menjadikan isu liabiliti tersebut berlaku sebelum pengambilalihan kumpulan berkenaan.
Penyelesaian kes itu dibuat tanpa pengakuan liabiliti dan atas dasar ex-gratia, iaitu bayaran secara sukarela bagi menyelesaikan pertikaian serta mengelakkan proses litigasi yang berpanjangan.
Dalam pada itu, kumpulan berkenaan memaklumkan Gerbang Mekar telah membuat peruntukan sebanyak RM7 juta dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), yang memberi kesan kepada kedudukan kewangan kumpulan.
LBS turut menyatakan kesan penyelesaian tersebut dianggarkan memberi impak kira-kira 5.1 peratus terhadap keuntungan kumpulan bagi FY2025 yang dilaporkan di Bursa Malaysia.
LBS Bina mencatatkan keuntungan bersih daripada operasi berterusan meningkat 27 peratus tahun ke tahun kepada RM137.86 juta, manakala hasil kumpulan turut meningkat 8.29 peratus kepada RM1.55 bilion pada FY25.
Namun keuntungan keseluruhan kumpulan susut 48 peratus selepas mengambil kira pelarasan operasi tidak berterusan berbanding tahun sebelumnya. - DagangNews.com








