Kerugian bersih Techna-X naik kepada RM41.8 juta bagi FY25 disebabkan pelupusan aset sekali sahaja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian bersih Techna-X naik kepada RM41.8 juta bagi FY25 disebabkan pelupusan aset sekali sahaja

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Mei — Techna-X Berhad mencatatkan kerugian bersih disatukan yang lebih tinggi sebanyak RM41.8 juta bagi tempoh kewangan selama 18 bulan berakhir 31 Disember 2025 (FY25). 


Peningkatan kerugian ini, berbanding RM20.0 juta pada tempoh sebelumnya, disebabkan oleh beberapa perkara sekali sahaja dan bukan berulang, termasuk pelupusan aset yang direkodkan dalam tempoh itu.


Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, antara faktor yang menyumbang lonjakan kerugian ini termasuk perbelanjaan pentadbiran dan operasi semakin meningkat kepada RM115.5 juta. 


"Ini termasuk kerugian susut nilai aset tidak ketara dan akaun belum terima berjumlah RM6.9 juta, serta hapus kira akaun belum terima iaitu RM24.5 juta yang tidak boleh diperoleh semula," katanya.


Sementara itu tambah Techna-X, kerugian daripada pelupusan anak-anak syarikat berjumlah RM9.7 juta hasil langkah pelupusan operasi perniagaan yang tertentu dalam tempoh tinjauan tersebut.


Walaupun mencatatkan kerugian, kumpulan melaporkan jumlah pendapatan disatukan sebanyak RM82 juta, dengan segmen makanan dan minuman (F&B) merupakan penyumbang utama iaitu kira-kira RM81.5 juta.


Segmen teknologi pula menyumbang RM0.5 juta, manakala sepanjang tempoh 18 bulan itu, syarikat sudah mengambil langkah strategik untuk merasionalisasikan operasi dengan melupuskan perniagaan tertentu.


"Antaranya penjualan 100% pegangan dalam Wavetree Technologies Sdn Bhd dan Touchpoint International Sdn Bhd melibatkan kerugian pelupusan masing-masing RM8.08 juta dan RM2.93 juta," kata Techna-X.


Syarikat juga melupuskan Caseria Pasifika Sdn Bhd yang mengendalikan restoran TGI Friday’s di Malaysia dengan nilai pertimbangan tunai RM4.5 juta bagi mengurangkan beban keperluan modal besar.


Melangkah ke hadapan, kumpulan berkenaan jelasnya, kini dalam proses menempatkan semula perniagaan teknologinya untuk pertumbuhan jangka panjang melalui usaha sama dengan firma teknologi China.


Syarikat asing tersebut pakar dalam rumusan pengangkutan dan bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), manakala bagi segmen F&B, Techna-X menumpukan kepada pertumbuhan jenama Italiannies.


"Dari segi kedudukan kewangan pula, jumlah aset kumpulan ini setakat 31 Disember 2025 lalu adalah sebanyak RM78.2 juta dengan ekuiti mencecah kira-kira RM31.8 juta," tambah laporan berkenaan.


Syarikat turut berjaya mengumpul dana baharu sebanyak RM1.85 juta melalui pelaksanaan tawaran saham persendirian untuk tujuan modal kerja tambahan. - DagangNews.com