Kerugian bersih MISC susut 97.4% kepada RM11.8 juta bagi 4QFY25, disokong keuntungan operasi lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian bersih MISC susut 97.4% kepada RM11.8 juta bagi 4QFY25, disokong keuntungan operasi lebih tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb - MISC Berhad mencatatkan kerugian bersih RM11.8 juta bagi suku keempat yang berakhir 31 Disember 2025, pengurangan ketara 97.4% berbanding kerugian RM446.2 juta pada 4QFY24.


Penyusutan besar ini didorong oleh keuntungan operasi berjumlah RM507.6 juta, susulan peralihan unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) daripada fasa pembinaan kepada operasi.


Selain itu, jelas kumpulan maritim antarabangsa dengan lebih 55 tahun pengalaman tersebut, pampasan insurans, serta prestasi kukuh dalam segmen penghantaran petroleum dan produk turut menjana hasil.


"Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, MISC mencatatkan prestasi baik dengan keuntungan bersih melonjak 42.4% kepada RM1.7 bilion berbanding RM1.19 bilion pada FY24," katanya.


Peningkatan berkenaan tambah MISC, adalah selaras dengan keuntungan operasi lebih tinggi serta perolehan daripada aktiviti pelupusan sejumlah kapal syarikat tersebut yang sudah berusia tua.


Bagaimanapun, pendapatan kumpulan bagi 4QFY25 susut 15.0% kepada RM2,811.5 juta, disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen aset dan rumusan gas serta kejuruteraan marin dan berat.


Keadaan tersebut jelas syarikat berkenaan, berikutan kontrak sedia ada didapati sudah berakhir, penjualan beberapa kapal lama, kapal yang tidak beroperasi, serta kadar penyewaan lebih rendah.


"Bagi prestasi tahunan, pendapatan kumpulan turut merosot 15.8% kepada RM11.15 bilion berbanding RM13.24 bilion pada FY24 atas faktor kelembapan aktiviti dalam segmen yang sama," kata MISC lagi.

Zahid Osman
ZAHID OSMAN


Aliran tunai daripada aktiviti operasi pula tambah syarikat tersebut, namun adalah kekal kukuh dengan peningkatan kira-kira 31.8% kepada RM5.64 bilion bagi tempoh berakhir 31 Disember 2025.


Mengulas mengenai prestasi semasa, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, syarikat menutup 4QFY25 dengan keuntungan kukuh dan aliran tunai operasi yang tinggi.


Situasi itu sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat mengharungi cabaran pasaran, dan walaupun berdepan dengan pendapatan lebih rendah, portfolio MISC yang pelbagai membantu kumpulan tersebut.


"Begitu juga komitmen warga kerja di seluruh kumpulan ini membolehkan kami menukarkan kekuatan operasi kepada daya tahan kewangan," kata beliau dalam satu kenyataan syarikat berkenaan.


Zahid menambah bahawa sepanjang 2025, MISC berjaya memperoleh projek baharu dalam semua segmen perniagaan teras, yang menjadi penanda aras pertumbuhan penting bagi strategi kemajuan syarikat.


Pihaknya terus melaksanakan misi dengan komitmen teguh, memajukan peremajaan armada melalui kapal cekap ekologi serta membuat kemasukan terancang ke dalam ruang tenaga boleh diperbaharui.


MISC kata beliau sedang mencorak hala tuju yang mengimbangi kecemerlangan operasi dengan peralihan tenaga masa hadapan serta pelepasan karbon yang lebih rendah. - DagangNews.com