KUALA LUMPUR 13 Mac — Kerjaya Prospek Group Berhad telah menerima kontrak bagi kerja-kerja pembinaan tanjakan di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Andaman, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang dengan nilai RM11.36 juta.
Syarikat pemaju hartanah itu berkata, pihak lembaga pengarahnya mengesahkan bahawa projek itu dikendalikan anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd.
Surat penganugerahan tender berkenaan yang bertarikh pada 12 Mac 2025 itu diterima daripada pihak Tanjung Development Sdn Bhd (TPDSB), iaitu sebuah anak syarikat tidak langsung kepada Eastern & Oriental Berhad (E&O).
"Ia melibatkan pelaksanaan dan penyiapan tanjakan untuk pejalan kaki sepanjang Gurney dengan laluan akses ke Gurney serta semua kerja yang berkaitan di kawasan pembinaan Bandar Tanjung Pinang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan tersebut berkata, kontrak untuk projek berkenaan bermula pada 19 Mac 2025 dan siap dalam tempoh 15 bulan dari tarikh permulaan.
Penerimaan kontrak tersebut adalah dalam urusan perniagaan biasa anak syarikatnya itu dan dilaksanakan secara berpanjangan, berdasarkan terma komersial biasa yang tidak lebih menguntungkan daripada terma yang tersedia untuk umum.
Di samping itu jelas Kerjaya Prospek, kontrak ini dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan berkenaan dalam tempoh satu tahun akan datang serta akan menambah baik buku pesanan sedia ada syarikat.
"Kontrak ini tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2025 hingga 2026," katanya.
Bandar Tanjung Pinang yang asalnya dinamakan sebagai Seri Tanjong Pinang, terletak hanya 4.5 kilometer dari barat daya pusat bandar raya George Town, dan merupakan kawasan tambakan tanah laut dengan keluasan 4.5 kilometer persegi. - DagangNews.com








