KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sarawak mampu menjadi pengeksport beras jika kaedah teknologi moden diterapkan dalam proses penanaman padi di negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai jika pemilik tanah tempatan boleh mengadakan kerjasama strategik dengan sektor swasta membangunkan penanaman padi secara komersial yang memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
Abang Johari menambah, syarikat swasta akan membuat pelaburan dengan menyediakan jentera serta teknologi moden bagi mengusahakan tanah milik penduduk.
"Penggunaan jentera bukan sahaja mempercepat proses penanaman padi iaitu dalam tempoh 50 minit sehektar, malah berupaya meningkatkan hasil kepada tiga musim setahun.
“Jika kita dapat menanam 14,000 hektar di seluruh Sarawak, pengeluaran beras boleh mencapai kira-kira 240,000 metrik tan, cukup untuk kegunaan dalaman.
"Jika kawasan itu ditambah lagi 14,000 hektar, jumlahnya boleh digandakan kepada 480,000 metrik tan, dengan lebihan boleh dieksport,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Penanaman Padi Komuniti yang diusahakan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang dan Padihead Sdn Bhd di Ladang Padi Ta Ann Padihead, Tanjung Manis, semalam.
Projek Penanaman Padi Komuniti yang diusahakan di kawasan seluas 323.75 hektar dijangka mampu menghasilkan kira-kira empat tan padi sehektar bagi dua musim penanaman setahun.
Beliau berkata, model yang sama berpotensi besar untuk diperluas di kawasan lain termasuk di Kuala Rajang yang memiliki kawasan seluas 105.22 hektar.
Sarawak menyasarkan untuk mencapai keterjaminan makanan melalui transformasi dan pemerkasaan sektor padi dengan inisiatif teknologi tinggi untuk memperkukuh pengeluaran dan potensi eksport menjelang 2030. - DagangNews.com








