Kerjasama Measat, Guodian Gaoke & StarWin tingkatkan IoT satelit Tianqi di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama Measat, Guodian Gaoke & StarWin tingkatkan IoT satelit Tianqi di Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Okt – Measat Global Berhad memeterai perjanjian kerjasama strategik tiga pihak dengan Beijing Guodian High-Tech Technology Co., Ltd. (Guodian Gaoke) dan China StarWin Science & Technology Co. Ltd bagi memperkenalkan perkhidmatan Internet Kebendaan (IoT) berasaskan Konstelasi Orbit Bumi Rendah (LEO) Tianqi di Malaysia.

 

Kerjasama itu adalah langkah penting dalam usaha memperluas keupayaan digital Sarawak dan Malaysia, khususnya bagi memperkukuh infrastruktur sambungan di kawasan luar bandar serta menyokong agenda ekonomi digital negeri menjelang 2030.

 

Melalui perjanjian itu, Measat akan menjadi penyedia rasmi perkhidmatan IoT berasaskan satelit Tianqi di Malaysia, memanfaatkan kepakaran pasaran serta rangkaian pengedaran untuk pelancaran komersial pada tahun hadapan.

 

Guodian Gaoke pula akan membekalkan sistem konstelasi satelit LEO Tianqi, manakala StarWin bertanggungjawab membekalkan terminal darat yang diperakui dan mematuhi piawaian teknikal tempatan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

 

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 di Kuching, disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Sri Julaihi Narawi.

 

Julaihi dalam ucapannya berkata, transformasi digital menjadi pemangkin utama kepada kecekapan dan produktiviti ekonomi negeri, melalui penerapan teknologi seperti data raya, IoT, Kecerdasan Buatan (AI) dan rantaian blok.

 

“Di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030, kerajaan negeri menyasarkan 96% liputan internet berkelajuan tinggi, 20% sumbangan KDNK daripada ekonomi digital dan 100% penyampaian perkhidmatan kerajaan secara dalam talian menjelang 2030.

 

“Kejayaan awal projek pertanian pintar yang menggunakan teknologi IoT telah meningkatkan produktiviti sebanyak 20% dan pendapatan pekebun secara ketara. 

 

“Kerajaan kini menyasar peluasan penggunaan IoT di semua pusat penyelidikan pertanian bagi meningkatkan hasil tanaman 50%, pendapatan isi rumah 40% dan mengurangkan kos tenaga kerja 40%,” katanya.

 

t
Pertanian pintar menggunakan IoT - Gambar hiasan Unsplash.com

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Measat, Yau Chyong Lim berkata, kerjasama tersebut membuka peluang baharu kepada Measat untuk memperluas keupayaan multi-orbit serta menyumbang kepada transformasi digital Sarawak dan Malaysia.

 

“Teknologi satelit LEO membolehkan sambungan data di kawasan bergunung dan terpencil tanpa halangan fizikal, dengan pemasangan yang mudah serta penggunaan kuasa rendah.

 

“Ini menjadikannya penyelesaian ideal untuk komuniti luar bandar dan industri yang beroperasi jauh dari pusat bandar,” katanya.

 

Antara manfaat yang dapat digerakkan melalui IoT berasaskan satelit LEO termasuk sistem ramalan banjir, pengurusan utiliti pintar, integrasi tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar, serta kemudahan teleperubatan dan pertanian pintar di kawasan pedalaman.

 

Ketua Pegawai Operasi Guodian Gaoke, Guo Zhongjia pula berkata, kerjasama dengan Measat dan StarWin akan memastikan Konstelasi Tianqi dapat memberikan sambungan IoT yang lancar dan boleh dipercayai di Malaysia, dengan memanfaatkan kepakaran tempatan Measat serta teknologi terminal StarWin.

 

Sementara itu, Pengerusi StarWin, James Li menyatakan komitmen syarikatnya untuk menyediakan terminal satelit berprestasi tinggi yang memenuhi piawaian antarabangsa, bagi memastikan pengguna di Malaysia dapat menikmati manfaat penuh daripada ketersambungan satelit yang disediakan.

 

Kerjasama tiga hala ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju ekonomi digital Borneo, malah satu permulaan penting ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab penyelesaian satelit dan IoT serantau menjelang 2030. - DagangNews.com