KUALA LUMPUR 5 Ogos - Langkah kerajaan menurunkan defisit fiskal secara berfasa adalah bagi memastikan jumlah hutang negara semakin berkurang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, dalam ekonomi makro kadar hutang akan bertambah jika defisit fiskal kekal tinggi, justeru ia perlu diturunkan secara berperingkat.
Katanya, pelaksanaan langkah itu sehingga kini menyaksikan kadar hutang baharu negara menurun setiap tahun, iaitu daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM76.8 bilion pada 2024.
"Sasaran kita ialah menurunkan defisit secara berfasa. Selagi defisit tidak diturunkan, jumlah hutang akan bertambah.
"Sebab itu, dari segi hutang, saya sebut bahawa pada 2021, hutang baharu adalah sebanyak RM100 bilion; 2022 (RM99 bilion), 2023 (RM92.6 bilion) dan 2024 (RM76.8 bilion),” kata beliau pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan di bawah program STR dan SARA bertambah sehingga RM15 bilion manakala Kementerian Pendidikan mendapat tambahan tertinggi, iaitu sehingga RM64 bilion dan kesihatan (RM45 bilion).
Beliau berkata, berikutan dasar fiskal bertanggungjawab dilaksanakan kerajaan, keyakinan pelabur sama ada domestik atau asing terus meningkat.
"Jika kita membuat pengumuman, kita jalankan dasar ekonomi bertanggungjawab tapi defisit terus membengkak, dianggap tidak bertanggungjawab.
"Sebab itu defisit mesti dikurangkan dan ini tentunya beban, maknanya kerajaan yang tegas dan berani saja boleh buat. Jika nak popular, hutang terus dan dibayar oleh generasi kemudian," katanya.
Berhubung peningkatan hutang negara dari RM1,079.1 bilion pada 2022 kepada RM1,247.6 pada 2024, Perdana Menteri menjelaskan, ia adalah perbelanjaan pembangunan, bukan mengurus.
"Kita tidak hutang untuk belanja mengurus. Kita hutang walaupun berkurang jumlah hutang itu untuk belanja pembangunan kerana kedudukan sekolah, hospital, luar bandar dan tebatan banjir, seperti yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya. - DagangNews.com








