Kerajaan tidak bercadang kenakan caj kenderaan masuk bandar, anggap membebankan – PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan tidak bercadang kenakan caj kenderaan masuk bandar, anggap membebankan – PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Sept – Kerajaan tidak akan mengenakan sebarang caj terhadap kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar selagi sistem pengangkutan awam negara belum benar-benar menyeluruh dan cekap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Menurut Anwar, kerajaan pada masa ini tidak merancang untuk melaksanakan caj masuk bandar seperti yang diamalkan di beberapa negara maju kerana bimbang ia akan menambah beban rakyat.

 

“Di beberapa negara, mereka mengenakan caj kepada kenderaan persendirian yang masuk ke bandar bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Tetapi kita tidak bercadang untuk laksanakannya buat masa ini kerana ia mungkin membebankan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Terminal Bersepadu Gombak (GIT) hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, sebarang pendekatan dasar yang melibatkan mobiliti dan kos pengguna akan hanya dipertimbangkan setelah infrastruktur pengangkutan awam negara benar-benar berada pada tahap optimum.

 

“Apabila rangkaian pengangkutan awam di seluruh negara benar-benar menyeluruh dan boleh diharap, barulah kita boleh mempertimbangkan perkara ini,” tegas beliau.

 

Terminal Bersepadu Gombak dijangka menjadi salah satu langkah penting ke arah memperkukuh sistem pengangkutan awam Lembah Klang dan memudahkan integrasi antara mod pengangkutan bas, LRT serta teksi.

 

Inisiatif ini dilihat selari dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan sistem mobiliti bandar yang lebih lestari, mesra alam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar raya utama. - DagangNews.com