Kerajaan sasar pusat data capai 85% penggunaan tenaga, elak risiko aset terbiar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan sasar pusat data capai 85% penggunaan tenaga, elak risiko aset terbiar

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Nov – Kerajaan bimbang pusat data di seluruh negara ketika ini menggunakan kurang separuh daripada permintaan tenaga elektrik, sekali gus menimbulkan kekhuatiran terhadap risiko aset terbiar sekiranya kapasiti sebenar tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

 


Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, kerajaan mahu memastikan kestabilan bekalan tenaga negara kekal terjamin, dengan pusat data disaran mencapai sekurang-kurangnya 85% daripada permintaan maksimum yang diisytiharkan.

 


Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati terdapat kemungkinan berlakunya permohonan bersifat spekulatif berdasarkan analisis terhadap keperluan tenaga pusat data, termasuk komitmen pelanggan akhir serta penggunaan sebenar elektrik,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

 


Menurut Chin Tong, rekod ST menunjukkan sehingga Jun 2025, pusat data di Malaysia menggunakan 603 megawatt (MW) tenaga elektrik, iaitu hanya 47% daripada permintaan maksimum 1,276 MW yang diisytiharkan.

 


“Sehubungan itu, unjuran kapasiti tenaga telah disemak semula berdasarkan data berkenaan bagi mengurangkan risiko aset terbiar dan pemindahan kos kepada pengguna lain,” jelasnya.

 


Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (Pakatan Harapan-Sibu), yang meminta penjelasan berhubung jumlah projek pusat data yang diluluskan, unjuran penggunaan tenaga dan air, serta strategi kerajaan dalam menyeimbangkan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dengan keselamatan sumber negara.

 


Mengenai penggunaan air, Chin Ting menjelaskan kadar penggunaan air oleh pusat data masih rendah berdasarkan data operator negeri di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor.

 

“Secara purata harian, kemudahan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menggunakan 0.47 juta liter air, bersamaan hanya 0.012% daripada jumlah penggunaan keseluruhan.

 

"Manakala di Johor, penggunaan harian ialah 9.07 juta liter, iaitu 0.6% daripada jumlah penggunaan negeri itu,” katanya.

 

Dari 2021 hingga Jun 2025, kerajaan sudah meluluskan 143 projek pusat data dengan pelaburan berjumlah RM144.4 bilion. 

 

Daripada jumlah itu, 25 projek berstatus Malaysia Digital diluluskan di bawah Skim Pemangkin Ekosistem Digital (DES) yang dijangka mewujudkan 1,429 peluang pekerjaan baharu.

 


Menurut Chin Tong, Pasukan Petugas Pusat Data yang dipengerusikan bersama oleh MITI dan Kementerian Digital kini sedang merangka strategi pertumbuhan mampan industri tersebut.

 


Antara ahli pasukan itu ialah ST, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 


“Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan pihak berkuasa pelesenan tunggal bagi pusat data bagi memperkemas proses kawal selia dan memastikan pematuhan terhadap garis panduan kebangsaan, khususnya berkaitan pelepasan karbon,” katanya.

 


Selain itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan kemudahan pusat data khusus untuk kegunaan kerajaan bagi melindungi kedaulatan maklumat negara dan meningkatkan keselamatan siber sektor awam. - DagangNews.com