KUALA LUMPUR 23 Julai – Langkah menukar simpanan tetap Kerajaan Negeri berjumlah RM200 juta dalam Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada saham keutamaan boleh tebus (RPS) adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kedudukan kewangan bank milik penuh negeri itu.
Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd Ishak Ayub berkata, langkah berkenaan tidak melibatkan suntikan dana baharu, sebaliknya hanya menukar bentuk simpanan sedia ada kepada instrumen modal yang dapat meningkatkan asas kewangan SDBank.
Beliau berkata, melalui penukaran tersebut, Kerajaan Sabah kekal mempunyai kepentingan dalam pelaburan berkenaan dan akan menerima pulangan dividen tahunan sebanyak 3.15 peratus, bersamaan kira-kira RM6.3 juta setahun.
“Pengukuhan modal itu penting bagi memastikan SDBank mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil, selain membolehkan bank berkenaan meneruskan proses pemulihan serta memperbaiki tadbir urusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak separuh kedua 2023, SDBank telah melalui perubahan melibatkan pelantikan lembaga pengarah dan pengurusan baharu yang melaksanakan pembaharuan tadbir urus serta pelan pemulihan bagi menangani cabaran kewangan yang dihadapi sebelum ini.
Mohd Ishak berkata, usaha pemulihan tersebut turut menunjukkan perkembangan positif apabila kutipan semula tunai daripada pinjaman tidak berbayar (NPL) mencapai kira-kira RM3.3 bilion sejak Julai 2023.
Beliau pada masa sama menolak dakwaan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa penukaran RM200 juta simpanan tetap kerajaan negeri kepada RPS merupakan satu bentuk ‘bailout’ terhadap SDBank.
Menurut beliau, tindakan itu bukan bantuan kewangan untuk menampung kerugian bank, sebaliknya langkah pengurusan risiko kewangan yang dibuat bagi melindungi kepentingan kerajaan negeri sebagai pemilik SDBank.
Katanya, sekiranya SDBank dibiarkan gagal, Sabah berdepan risiko lebih besar melibatkan kira-kira RM3 bilion dalam bon tertunggak serta liabiliti lain yang berkaitan dengan operasi bank berkenaan.
“Keputusan untuk memperkukuhkan SDBank dibuat berdasarkan pertimbangan jangka panjang bagi memastikan aset strategik negeri terus terpelihara dan kedudukan kewangan Sabah kekal terkawal,” katanya. - DagangNews.com








