Kerajaan proaktif angkat industri halal penyumbang utama ekonomi negara - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan proaktif angkat industri halal penyumbang utama ekonomi negara - PM Anwar

KUALA LUMPUR 19 Sept - Kerajaan MADANI akan terus proaktif memposisikan industri halal seagai penyumbang utama kepada ekonomi negara terutama dalam perbincangan perdagangan dalam setiap misi pelaburan dan libat urus dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia menjadikan halal sebagai model ekonomi sejagat, dan ia akan menjadi sebahagian daripada rundingan dua hala dengan negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam atau negara bukan Islam.

 

"Sebagai contoh, dalam KazanForum 2025 di Rusia baru-baru ini, saya menonjolkan kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal dan menawarkan sokongan kita untuk memperkukuh standard halal global.

 

 

 

 

"Pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Brazil, saya menyeru syarikat-syarikat Brazil dan Malaysia untuk merebut peluang perniagaan dalam industri halal," kata Anwar.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 di sini hari ini.

 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia.

 

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

 

Anwar berkata, industri halal kini telah berkembang melangkaui sektor makanan dan minuman merangkumi ekosistem yang lebih menyeluruh seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan dan kewangan Islam.

 

Katanya, sektor halal mencerminkan komitmen yang lebih luas terhadap integriti, etika dan nilai berasaskan kepercayaan sekali gus menjadikan Halal sebagai simbol kepercayaan antarabangsa serta penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

“Halal bukan sekadar satu label. Ia adalah contoh amalan terbaik tentang apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan dakwah, menyampaikan mesej melalui tindakan, akhlak serta keyakinan kita terhadap integriti dan akauntabiliti,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata perkhidmatan dan produk halal kian mendapat sambutan di peringkat global termasuk negara bukan Islam seperti China, hasil usaha berterusan selama beberapa dekad serta permintaan pengguna yang semakin meningkat.

 

Beliau berkata hampir 10,000 syarikat dengan lebih 80 peratus daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana telah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

 

 

 

 

 

 

Anwar juga berkata pensijilan halal Malaysia kini telah didaftarkan serta diiktiraf oleh hampir 50 negara dan Jakim menjalinkan kerjasama dengan lebih 80 badan akreditasi di 45 negara yang mencerminkan penerimaannya di peringkat global.

 

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus memposisikan industri halal sebagai model ekonomi sejagat dalam setiap misi perdagangan dan penglibatan dua hala secara aktif tanpa mengira sama ada negara terbabit mempunyai majoriti penduduk beragama Islam atau sebaliknya. - BERNAMA