KUALA LUMPUR 17 Mac — Kerajaan MADANI memperhebat pelbagai ikhtiar bagi meringankan beban rakyat sempena Ramadan dan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri, ketika ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas untuk terus melindungi kebajikan rakyat dengan melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan persiapan perayaan berjalan lancar.
Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri serta pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026.
Selain itu, kerajaan turut membuat bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada 10 Mac 2026 kepada 5.2 juta penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion.
“Kerajaan juga menyalurkan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran, termasuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 diperluaskan kepada pelbagai institusi pengajian tinggi bagi membantu pelajar pulang ke kampung halaman.
Bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga berpatutan sepanjang Ramadan, hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI telah dilaksanakan di seluruh negara.
Kerajaan turut menguatkuasakan larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, sebagai sebahagian daripada keseluruhan ikhtiar berkenaan, Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk memberi diskaun tol sebanyak 50% sempena Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.
Inisiatif tersebut melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Diskaun itu akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026, melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Pada masa sama, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara Fast Track yang dijangka membebaskan sekitar 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal daripada belenggu kebankrapan.
Menurut beliau, semua langkah tersebut merupakan manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang diusahakan bersama.
Beliau turut mengulangi seruan agar rakyat berbelanja secara berhemah sepanjang Syawal, dengan mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
“Mewakili seluruh jentera Kerajaan MADANI, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga Aidilfitri disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga serta insan tersayang,” katanya. - DagangNews.com








