Kerajaan luluskan 13 projek solar mampu jana 1,975MW menjelang 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan luluskan 13 projek solar mampu jana 1,975MW menjelang 2027

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan sebanyak 13 projek solar berskala besar dengan jumlah kapasiti 1,975 megawatt (MW).

 

Petra berkata, kesemua projek tersebut yang diluluskan di bawah Program Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan (LSS PETRA 5+) dijangka mula beroperasi secara berperingkat pada tahun 2027 dan 2028.

 

“Ini termasuk projek solar terapung terbesar di Malaysia dengan kapasiti 200MW,” kata Petra dalam satu kenyataan.

 

Bidaan bagi program solar berskala besar kelima (LSS@5) telah dibuka oleh Suruhanjaya Tenaga pada Januari lalu untuk kontrak penjanaan elektrik berjumlah 2,000MW.

 

Sejak inisiatif LSS diperkenalkan pada 2016, sebanyak 4,263MW kapasiti solar telah diluluskan kerajaan. 

 

Namun, identiti pembida yang berjaya bagi LSS@5 masih belum didedahkan.

 

“Kementerian yakin pelaksanaan inisiatif ini akan menyumbang secara signifikan kepada aspirasi peralihan tenaga negara, iaitu meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem bekalan elektrik negara kepada 70% menjelang 2050,” kata Petra.

 

Program LSS PETRA 5+ menawarkan dua pakej iaitu pakej pertama untuk pembangunan loji jana kuasa solar dengan kapasiti antara 30MWac hingga 500MWac yang dibuka kepada syarikat dengan pemilikan tempatan sekurang-kurangnya 51% serta jumlah kuota yang ditawarkan di bawah kategori ini adalah 1,500MWac.

 

“Pakej kedua ditawarkan untuk pembangunan loji jana kuasa solar di badan air dengan kapasiti antara 10MWac hingga 500MWac yang dibuka kepada syarikat dengan pemilikan tempatan sekurang-kurangnya 51% dan jumlah kuota yang ditawarkan adalah 500MWac.

 

“Proses bidaan terbuka ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di mana Suruhanjaya Tenaga telah menerima 37 permohonan untuk kedua-dua pakej tawaran dengan jumlah kapasiti 4,073MW, iaitu 2.0 kali melebihi jumlah kuota yang ditawarkan.

 

“Penilaian menyeluruh telah dilaksanakan terhadap tawaran bidaan, hasilnya 13 pembida yang mematuhi kesemua syarat Request For Proposal telah berjaya dalam bidaan ini,” kata Petra.

 

Pelaksanaan Program LSS secara bidaan terbuka telah berjaya melahirkan ramai pemaju solar tempatan yang berkeupayaan dan berpotensi untuk membangunkan loji jana kuasa solar pada kadar tarif yang kompetitif. 

 

Kelulusan kapasiti pembangunan solar di bawah LSS PETRA 5+ baharu ini dijangka menjana pelaburan sebanyak RM6 bilion dan mewujudkan sebanyak 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh diperbaharui.- DagangNews.com