KUALA LUMPUR 16 Julai - Kerajaan akan melancarkan program Large Scale Solar Round Six (LSS6) dengan kuota kapasiti solar sebanyak 2,500 megawatt (MW), termasuk 1,250MW yang digabungkan dengan Battery Energy Storage System (BESS), sebagai langkah mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara dan memperkukuh kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, program itu dijangka menarik pelaburan swasta antara RM13 bilion hingga RM15 bilion serta mewujudkan sekitar 15,000 hingga 20,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan dan pembinaan.
Menurut PETRA, LSS6 turut memperuntukkan 150MW khas kepada syarikat Bumiputera di Semenanjung Malaysia, sejajar usaha memperluaskan penyertaan pemain tempatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
“LSS6 dibangunkan berasaskan kejayaan program-program LSS terdahulu yang telah memperkukuh industri solar tempatan dan menurunkan kos penjanaan elektrik menerusi mekanisme bidaan yang telus serta berasaskan pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memperluaskan penyertaan industri, LSS6 akan dilaksanakan menerusi tiga pakej berasingan.
Tiga Pakej Ditawarkan
Pakej 1 melibatkan tender terbuka bagi projek solar berskala besar yang digabungkan dengan BESS, menawarkan 2,200MW kapasiti solar dan 1,100MW kapasiti penyimpanan bateri.
Pakej 2 pula merupakan tender terbuka khusus untuk syarikat Bumiputera melibatkan 300MW kapasiti solar serta 150MW kapasiti BESS.
Sementara itu, Pakej 3 memperkenalkan program solar khas Bumiputera tanpa BESS dengan kapasiti sebanyak 150MW.
PETRA berkata, beberapa penambahbaikan diperkenalkan di bawah LSS6 bagi memastikan pelaksanaannya lebih telus, kompetitif dan mudah diakses.
Bagi Pakej 1 dan Pakej 2, setiap pembida dibenarkan mengemukakan cadangan projek berkapasiti antara 60MW hingga 500MW, manakala Pakej 3 memberi tumpuan kepada projek lebih kecil antara 10MW hingga 30MW.
Program itu juga menggalakkan pembangunan loji solar hibrid yang dilengkapi BESS bagi meningkatkan kestabilan, fleksibiliti dan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik negara.
Walaupun pembida perlu mempunyai pengalaman dalam pembangunan projek solar, pengalaman terdahulu dalam pelaksanaan BESS tidak akan menjadi syarat wajib.
Keutamaan Penilaian
PETRA turut memaklumkan bahawa syarikat yang menggunakan komponen tenaga boleh diperbaharui buatan tempatan, termasuk modul fotovoltaik (PV) solar, akan diberikan keutamaan dalam proses penilaian.
Dari segi lokasi, projek-projek LSS6 akan tertumpu di kawasan strategik yang mencatatkan peningkatan permintaan elektrik, khususnya di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, bagi mengoptimumkan perancangan penjanaan tenaga serta infrastruktur penghantaran elektrik negara.
Semua projek di bawah LSS6 disasarkan mencapai operasi komersial secara berperingkat dengan tarikh akhir 31 Disember 2029.
PETRA menjangkakan program itu mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak kira-kira 2.6 juta tan setahun, sekali gus menyokong komitmen Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan pencapaian matlamat pembangunan mampan.
Bagi Pakej 3, program solar khas Bumiputera tanpa BESS dijangka membuka ruang kepada syarikat Bumiputera berskala kecil menyertai industri tenaga boleh diperbaharui dengan peluang pelaburan hampir RM500 juta.
Dari segi jadual pelaksanaan, Permintaan Cadangan (RFP) bagi Pakej 1 dan Pakej 2 akan dibuka mulai 27 Julai hingga 7 Ogos 2026, manakala Pakej 3 akan menerima penyertaan dari 17 Ogos hingga 28 Ogos 2026.
Menurut PETRA, pelaksanaan LSS6 mencerminkan komitmen kerajaan di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk membangunkan sektor tenaga bersih yang telus, berdaya saing dan mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada negara. - DagangNews.com








