DHL Malaysia guna dron percepat pengiraan inventori sehingga 92%, produktiviti meningkat 56% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DHL Malaysia guna dron percepat pengiraan inventori sehingga 92%, produktiviti meningkat 56%

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Julai - Penggunaan teknologi dron berasaskan kecerdasan buatan (AI) berjaya mengurangkan tempoh pengiraan inventori gudang sehingga 92%, sekali gus meningkatkan produktiviti operasi sebanyak 56% di pusat logistik DHL Malaysia.

 

Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz, berkata sistem dron dibangunkan Infinium Robotics itu kini digunakan di empat pusat operasi DHL di wilayah tengah dan utara Malaysia, selain beberapa kemudahan syarikat itu di Singapura, Australia dan pasaran Asia Pasifik yang lain bagi mempercepatkan proses pengiraan inventori gudang.

 

Beliau menyifatkan penyelesaian itu sebagai teknologi yang benar-benar memberikan impak kepada operasi harian.

 

"Kami kini menggunakan sistem dron autonomi berkamera canggih serta robot mudah alih di empat pusat operasi kami di wilayah tengah dan utara. 

 

"Sistem ini dibangunkan khusus untuk pengiraan inventori di dalam gudang, membolehkan inventori diimbas secara automatik sebelum data dibandingkan secara terus dengan Sistem Pengurusan Gudang (WMS) bagi mengenal pasti sebarang perbezaan," katanya dalam kenyataan.

 

Beliau berkata hasil yang dicapai membuktikan keberkesanan rumusan tersebut.

 

Dhl dron

 

"Kami berjaya mencapai ketepatan pengiraan inventori 100%, mengimbas kira-kira 2,000 lokasi dalam tempoh lapan jam sahaja serta mengurangkan masa pengiraan inventori daripada 84 jam kepada enam jam sahaja di salah satu gudang operasi kami," katanya.

 

Menurut Lorenz, rumusan yang dibangunkan bersama CelcomDigi itu menunjukkan bagaimana inovasi praktikal mampu membawa perubahan ketara kepada operasi logistik.

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Infinium Robotics, Jon Woon, berkata, automasi bukan sekadar mempercepatkan proses kerja, malah membantu syarikat mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja dengan mengurangkan kebergantungan kepada proses pengiraan inventori secara manual.

 

Katanya, perisian AI Infinium boleh disesuaikan mengikut saiz dan keperluan gudang, sekali gus membolehkan lebih banyak syarikat memanfaatkan automasi tanpa perlu mempunyai operasi berskala besar.

 

Beliau berkata, teknologi Infinium kini menjadi sebahagian daripada ekosistem inovasi di AI Experience Centre CelcomDigi di Subang Jaya serta inisiatif Advanced Intelligent Warehouse di Shah Alam.

 

Dalam perkembangan lain, Woon berkata, pengambilalihan Infinium Robotics oleh Deutsche Defence Beteiligungen AG (DDB) yang tersenarai di Jerman membuka ruang kepada syarikat itu untuk mempercepatkan pengembangan ke pasaran antarabangsa, khususnya Eropah. - DagangNews.com