KUALA LUMPUR 16 Julai — iCents Group Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM12.9 juta sebagai kontraktor utama kerja-kerja pengubahsuaian sebuah fasiliti perindustrian di Lembah Klang.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikatnya, VC Engineering Sdn Bhd menerima surat penganugerahan (LOA) tender itu yang melibatkan sebuah kilang, gudang dan pejabat tingkat bawah.
Kontrak tersebut dianugerahkan oleh subsidiari kepada sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Belanda yang terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan produk semikonduktor, sains hayat dan tenaga.
"Skop tugas merangkumi kerja bangunan, kemasan dalaman, sistem mekanikal dan elektrikal (M&E), sistem voltan tambahan rendah (ELV), paip sanitari, serta sistem pemadam kebakaran," kata iCents.
VC Engineering juga akan melaksanakan ujian dan kerja pentauliahan, dengan dijadualkan siap dalam tempoh empat bulan daripada tarikh permulaan kerja yang akan ditetapkan oleh perunding projek.
Kumpulan ditubuhkan sejak 2015 itu berkata, kontrak terbaharu ini mengukuhkan rekod prestasinya dalam menyediakan rumusan kejuruteraan bagi kemudahan perindustrian yang berspesifikasi tinggi.

Tender berkenaan selari dengan kepakaran iCents yang beribu pejabat di Subang, Selangor khususnya sektor semikonduktor dengan memerlukan piawaian mutu, ketepatan kejuruteraan dan prasarana khusus.
"Kontrak ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha perluasan penglibatan kami dalam rantaian nilai semikonduktor Malaysia," kata Pengarah Urusannya, Ir Ts Vincent Ong Mum Fei.
Permintaan terhadap kemudahan perindustrian khusus dan rumusan kejuruteraan bilik bersih dijangka terus berkembang pesat seiring pengeluar semikonduktor global meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif iCents, Foo Siang Leng berkata, tender berkenaan mempelbagaikan portfolio projek dan mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan kumpulan tersebut.
Beliau berkata, syarikat kekal komited melaksanakan projek mengikut standard tertinggi di samping terus merebut peluang baharu daripada pelaburan berterusan dalam pelbagai sektor bernilai tinggi.
"Ini termasuk semikonduktor, sains hayat, infrastruktur digital dan pembuatan termaju, sekali gus menyokong pertumbuhan mampan kumpulan pada masa hadapan," jelasnya. - DagangNews.com








