Kerajaan kaji harga lantai kurier ketika dua syarikat kuasai 73.5% pasaran, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan kaji harga lantai kurier ketika dua syarikat kuasai 73.5% pasaran, Parlimen diberitahu

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 Nov  –  Sebanyak 102 syarikat kurier berlesen, 15 daripadanya menguasai 98% daripada keseluruhan bungkusan negara dan dua syarikat utama sahaja iaitu J&T Express dan SPX Xpress, menguasai 73.5% pasaran. 

 

Dalam landskap yang begitu dominan angka-angkanya, kerajaan kini sedang meneliti cadangan menetapkan harga lantai perkhidmatan kurier bagi memastikan persaingan kekal sihat.

 

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sedang mengkaji cadangan itu secara menyeluruh, termasuk melalui audit kos serta penilaian harga industri untuk menentukan sama ada harga lantai tersebut mampu menyokong kelangsungan syarikat dan tidak membebankan pengguna.

 

“Katanya, kajian ini penting bagi memastikan struktur kos industri difahami sepenuhnya sebelum sebarang keputusan dibuat,” menurut beliau dalam satu jawapan bertulis di laman web Parlimen.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang meminta penjelasan mengenai bahagian pasaran syarikat kurier, status pemilikan tempatan atau asing, serta sama ada kementerian bercadang memperkenalkan harga lantai bagi perkhidmatan tersebut.

 

Menurut Fahmi, setakat 15 Oktober 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melesenkan 102 syarikat kurier di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, meliputi 21 syarikat milik asing dan 81 syarikat tempatan.

 

Beliau berkata, 15 pelesen utama mengendalikan 98% daripada jumlah bungkusan negara, termasuk J&T Express, SPX Xpress (Shopee Express), Ninja Van, Pos Laju, GDEX, City-Link Express dan ABX Express.

 

Daripada keseluruhan pasaran, J&T Express dan SPX Xpress sahaja menguasai 73.5%, satu angka besar yang menjadi faktor utama kerajaan meneliti keperluan meletakkan mekanisme perlindungan harga bagi mengelakkan amalan pemangsaan harga.

 

Menurut Fahmi, MCMC sebelum ini telah memperkenalkan garis panduan harga rujukan bagi mengekalkan kualiti perkhidmatan dan melindungi pengusaha kecil serta sederhana.

 

Namun katanya, garis panduan itu bersifat nasihat dan harga masih ditentukan secara kerangka kawal selia kendiri selaras dengan Seksyen 36 Akta Perkhidmatan Pos. - DagangNews.com