Pengeluar nat dan bolt industri minyak & gas, Tri Star SBN rancang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluar nat dan bolt industri minyak & gas, Tri Star SBN rancang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Pengeluar nat dan bolt khusus untuk industri minyak dan gas, Tri Star SBN Bhd menyasarkan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk membina hab pembuatan baharu di Johor.

 

Menerusi draf prospektus yang difailkan, syarikat itu sedang mengenal pasti tapak tanah seluas 10 ekar di Johor Bahru bagi membangunkan kemudahan yang merangkumi kilang pembuatan, gudang, pejabat dan makmal.

 

Pembangunan itu juga akan membolehkan Tri Star menyatukan operasi yang kini dijalankan di beberapa premis sewaan ke dalam satu kompleks bersepadu milik sendiri.

 

Langkah tersebut dijangka meningkatkan kecekapan operasi selain memudahkan pengurusan aktiviti pembuatan, penyimpanan dan pentadbiran syarikat di Malaysia.

 

Berpangkalan di Masai, Johor, Tri Star menghasilkan pelbagai produk termasuk pengikat khas, sistem perlindungan kakisan dan sistem sokongan kabel tahan kakisan yang digunakan terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

 

Sebahagian besar pendapatan syarikat disumbangkan oleh pasaran eksport, khususnya dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun dan Indonesia.

 

Selain Malaysia, syarikat itu turut mempunyai kemudahan pembuatan di beberapa pasaran utamanya bagi menyokong permintaan pelanggan di luar negara.

 

t

 

Bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Mac 2025, Tri Star mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM11.76 juta dengan hasil mencecah RM298.29 juta.

 

Daripada dana yang bakal diperoleh menerusi tawaran awam permulaan (IPO), kira-kira separuh akan digunakan untuk membiayai pembinaan hab pembuatan baharu di Johor.

 

Sebanyak 15% lagi diperuntukkan bagi menubuhkan sebuah gudang di UAE bagi memperkukuh operasi penyimpanan dan pengedaran syarikat di rantau Timur Tengah.

 

Syarikat itu turut memperuntukkan 10% daripada hasil IPO untuk menaik taraf operasi pembuatan sedia ada, manakala 15% lagi akan digunakan bagi mengurangkan beban pinjaman bank.

 

Tri Star diterajui dua beradik warga Singapura, Lim Che-How Perry dan Lim Che Siong yang mengambil alih perniagaan keluarga daripada bapa mereka dan kedua-duanya turut akan melepaskan sebahagian pegangan saham masing-masing menerusi tawaran jualan saham sedia ada sempena IPO tersebut.

 

Firma ekuiti persendirian, Navis Capital Partners pernah menjadi pemegang saham majoriti Tri Star selepas melabur dalam syarikat itu pada 2014 sebelum menjual semula pegangannya kepada keluarga Lim pada 2021.

 

TA Securities dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi penyenaraian berkenaan. - DagangNews.com