Bekas CEO PETRONAS, Shamsul Azhar Abbas kekal dalam Lembaga Pengarah Deleum | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas CEO PETRONAS, Shamsul Azhar Abbas kekal dalam Lembaga Pengarah Deleum

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 Jun — Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas kekal dipilih majoriti pemegang saham bagi menganggotai Lembaga Pengarah Deleum Berhad.

 

Beliau yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas kumpulan tersebut disokong 193 pemegang saham meluluskan usul pemilihan semulanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-21 syarikat berkenaan.

 

Shamsul Azhar, yang berkhidmat selama 40 tahun bersama PETRONAS termasuk menerajui syarikat minyak nasional itu dari 2010 hingga 2015, memainkan peranan penting dalam beberapa projek strategik negara.

 

Antaranya menurut laman web rasmi Deleum, Projek Penapisan dan Petrokimia Bersepadu Pengerang (RAPID), projek Bintulu Train 9 serta pembangunan dua kemudahan terapung gas asli cecair (LNG).

 

"Usul biasa pertama bagi pemilihan semula beliau sebagai pengarah yang bersara mengikut Klausa 88 Perlembagaan syarikat diluluskan dengan sokongan 99.14% undi," jelasnya kepada Bursa Malaysia.

 

Katanya, Shamsul Azhar, 73, menyertai lembaga pengarah Deleum pada Jun 2022, serta dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kanan sebelum mengambil alih jawatan Pengerusi pada Jun 2023.

 

 

Deleum_DagangNews2026

 

Selain itu, beliau turut pernah menjadi Presiden dan CEO MISC Berhad dari 2004 hingga 2008, serta kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi kumpulan tersebut dari 1 Julai 2010 hingga 31 Disember 2011.

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), serta Pengerusi Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), MMC Corporation Berhad dan Sapura Energy Berhad.

 

Deleum memaklumkan, majoriti pemegang saham turut meluluskan pemilihan semula Datuk Vivekananthan MV Nathan, Datin Aisah Eden serta Syed Feizal Syed Mohammad sebagai anggota pengarah syarikat.

 

"Kesemua 13 usul dibentangkan pada AGM itu diluluskan melalui pengundian, antaranya pembayaran fi pengarah bukan eksekutif sehingga RM1.7 juta, dan manfaat pengarah sehingga RM500,000," tambahnya.

 

Pemegang saham juga meluluskan cadangan pembaharuan mandat bagi urus niaga pihak berkaitan secara berulang (RRPT) yang melibatkan beberapa syarikat termasuk Solar Turbines International Company.

 

Deleum berkata, keputusan pengundian disahkan oleh pemeriksa bebas, Scrutineer Solutions Sdn Bhd dengan AGM berlangsung di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur pada 22 Jun 2026. - DagangNews.com