Lebihan bekalan global hadkan potensi penilaian lebih tinggi saham sarung tangan getah - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebihan bekalan global hadkan potensi penilaian lebih tinggi saham sarung tangan getah - BIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Jun - Isu lebihan bekalan global masih menjadi cabaran utama kepada industri sarung tangan getah dan mengehadkan peningkatan penilaian saham secara menyeluruh, menurut BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, lebihan kapasiti yang wujud ketika ini berpunca daripada pengembangan kapasiti secara agresif yang dilakukan oleh pengeluar di seluruh dunia ketika pandemik.

 

Dalam masa yang sama, pengeluar China terus menggunakan strategi harga yang agresif bagi mempertahankan kadar penggunaan kapasiti mereka, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga jualan purata dalam pasaran global.

 

BIMB Securities menjangkakan proses penyerapan lebihan kapasiti akan mengambil masa beberapa tahun melalui pertumbuhan permintaan yang berterusan atau rasionalisasi bekalan yang lebih ketara.

 

“Dalam tempoh terdekat, potensi kenaikan ASP dijangka kekal terhad dan gandaan penilaian sektor berkemungkinan tidak akan kembali ke paras tinggi yang dicatatkan ketika era pandemik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, BIMB berpandangan walaupun pemulihan pendapatan sektor berkenaan semakin ketara, sektor itu masih belum bersedia untuk menerima penilaian semula secara menyeluruh berikutan isu lebihan kapasiti dan persaingan berterusan daripada pengeluar China.

 

Oleh itu firma penyelidikan berkenaan mengekalkan penarafan "neutral" terhadap sektor sarung tangan dengan saranan "pegang" bagi semua saham di bawah liputannya.

 

Antara saham yang diberi penarafan "pegang" ialah Top Glove Corporation Bhd dengan harga sasaran (TP) 75 sen, Hartalega Holdings Bhd (RM1.10), Kossan Rubber Industries Bhd (RM1.19) dan Supermax Corporation Bhd (29 sen).

 

Kitaran Pertumbuhan Luar Biasa

Menurut BIMB Securities, walaupun prestasi industri bertambah baik, pelabur tidak seharusnya menganggap sektor tersebut sedang menuju ke arah satu lagi kitaran pertumbuhan luar biasa seperti yang berlaku ketika pandemik COVID-19.

 

“Industri ini sedang pulih daripada asas yang sangat rendah selepas kemerosotan pasca pandemik, bukannya memasuki semula fasa kekurangan bekalan seperti yang berlaku ketika era COVID-19.

 

“Lebihan kapasiti masih tinggi manakala persaingan daripada pengeluar China di luar pasaran Amerika Syarikat terus mengehadkan kuasa penetapan harga,” katanya.

 

Firma itu berkata, asas operasi industri kini semakin bertambah baik dengan kadar penggunaan kapasiti meningkat kepada sekitar 80% hingga 90%, disokong oleh pelaksanaan inisiatif kecekapan serta kestabilan harga jualan purata (ASP).

 

Perkembangan tersebut dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh dalam kalangan pengeluar tempatan dalam tempoh akan datang.

 

ESG Kelebihan Daya Saing

Pada masa sama, BIMB Securities berkata, pematuhan terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin menjadi kelebihan daya saing kepada pengeluar Malaysia, terutama apabila digabungkan dengan jurang tarif yang semakin melebar antara Amerika Syarikat dan China.

 

Menurutnya, Amerika Syarikat menggunakan sekitar 100 bilion hingga 120 bilion sarung tangan setiap tahun dan sebarang peralihan kecil dalam bahagian pasaran mampu diterjemahkan kepada pertambahan jualan yang signifikan kepada pengeksport Malaysia.

 

“Pengeluar tempatan berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini berikutan hubungan pelanggan yang kukuh dan rekod pematuhan yang telah terbukti,” katanya. - DagangNews.com