Kerajaan guna segala saluran diplomatik antarabangsa bebaskan aktivis, sukarelawan GSF Malaysia - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan guna segala saluran diplomatik antarabangsa bebaskan aktivis, sukarelawan GSF Malaysia - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memanfaatkan segala saluran diplomatik yang sedia kuat di peringkat antarabangsa untuk membebaskan aktivis dan sukarelawan Malaysia yang menyertai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF).

 

"Kepada Allah SWT kita berserah, disulam usaha menyeluruh yang digerakkan, semoga kesemua mereka dibebaskan dengan selamat. Doa rakyat Malaysia untuk Global Sumud Flotilla. Hasbunallahu Wani‘mal Wakil," kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

Media melaporkan sebanyak 14 daripada 44 kapal flotila Global Sumud telah dipintas dan 201 daripada 497 peserta misi kemanusiaan itu termasuk 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan oleh tentera Israel.

 

Terdahulu, Anwar dalam hantaran media sosial berkata beliau dan pasukannya sedang giat menghubungi pihak berkepentingan melalui saluran diplomatik bagi memastikan pembebasan segera sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa yang menyertai misi GSF.

 

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan memastikan ahli keluarga para aktivis dan sukarelawan Malaysia terus dimaklumkan setiap maklumat dan perkembangan proses pembebasan.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby menyifatkan tindakan intimidasi rejim Zionis memintas flotila yang membawa bantuan kemanusiaan sebagai tindakan 'pengecut' dan bercanggah dengan undangundang antarabangsa.

 

"Delegasi kali ini mewakili 45 negara merangkumi Asia, negara Eropah dan anggota NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) seperti Turki… pastinya untuk kali ini antara sebab mereka (Israel) belum melakukan apa-apa walaupun mereka ada peluang itu kerana dunia sedang melihat," katanya.

 

Beliau berkata pihaknya mahupun sekretariat GSF belum menerima maklum balas daripada Israel berhubung alasan tenteranya memintas dan menahan peserta GSF.

 

"Pasukan GSF dan SNCC menjangkakan proses negosiasi melalui pihak ketiga bagi pembebaan tahanan akan diadakan dengan Israel dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com