KUALA LUMPUR 9 Mei — Kerajaan sudah bertindak mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Rusia iaitu InDrive dan Maxim untuk menghentikan operasi mereka berkuat kuasa pada 24 Julai 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan, surat pemberhentian operasi kepada dua aplikasi dalam talian tersebut telah dihantar oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, dua syarikat e-hailing berkenaan masih lagi boleh mengemukakan rayuan, namun proses itu hanya boleh diputuskan beliau sendiri selaku menteri yang bertanggungjawab.
"Justeru, berkuat kuasa 24 Julai depan, operasi InDrive dan Maxim perlu dihentikan di seluruh negara ini," tegasnya pada sidang media dalam satu majlis berlangsung di Pasir Gudang, Johor hari ini.
Pada 6 Mei 2025, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia menuntut kerajaan menutup dua platform itu kerana didakwa beroperasi secara haram dan menawarkan perkhidmatan tanpa mengikut peraturan.
Artikel berkaitan: Kerajaan didesak tutup aplikasi InDrive, Maxim beroperasi haram, kata persatuan P-hailing
Antaranya, para pemandu InDrive dan Maxim didapati langsung tiada lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam yang sah dan tidak melakukan sebarang pemeriksaan kenderaan seperti ditetapkan.
Menurut persatuan itu lagi, dua syarikat e-hailing berkenaan juga didapati melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 atau Akta 715 yang diwajibkan oleh APAD selama ini.
Ia termasuk perlu memastikan semua kenderaan di bawah platform mereka beroperasi dengan memiliki Permit Kenderaan E-hailing sah, iaitu salah satu syarat utama dalam Lesen Pengendali Individu.
Pelanggaran itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 12D(1)(a) Akta 715, yang memberikan kuasa kepada APAD bagi membatalkan lesen pengendali yang melanggar syarat-syaratnya. - DagangNews.com








