KUALA LUMPUR 3 Ogos – Pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bukan satu pembaziran wang pembayar cukai seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, kata Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sebaliknya ia merupakan keputusan perniagaan strategik yang telah dirancang lebih awal dan akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana syarikat.
Beliau menjelaskan keputusan pembelian itu telah diumumkan seawal Mac lalu, iaitu sebelum Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan sebarang tarif import baharu terhadap barangan.
“Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif?” katanya dalam satu hantaran di akaun rasmi media sosial X beliau pada Sabtu.
Menurut Zafrul, tarif tersebut dikenakan oleh AS sebahagiannya kerana defisit perdagangan, di mana Malaysia menjual lebih banyak barangan ke AS berbanding yang dibeli dari negara itu. Justeru, AS mengambil langkah untuk mengurangkan defisit tersebut dengan mengenakan tarif tinggi sebanyak 25 peratus.
“Oleh itu, Malaysia mengambil peluang dengan menyenaraikan semua pembelian berskala besar yang dirancang oleh syarikat-syarikat Malaysia dari AS, termasuk pesanan pesawat Boeing,” ujarnya.
“Kita bukan membeli semata-mata untuk mengurangkan tarif,” tegas beliau.
Zafrul berkata strategi ini menunjukkan kepada AS bahawa Malaysia juga merupakan pembeli utama produk mereka, sekaligus berjaya meyakinkan AS untuk menurunkan tarif import ke atas barangan Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
“Strategi pintar ini adalah hasil rundingan yang teliti, bagi memastikan kepentingan syarikat dan negara sentiasa terpelihara,” tambahnya.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa MAG telah membuat pesanan muktamad bagi 30 pesawat Boeing 737 yang dijadualkan untuk dihantar menjelang tahun 2030. - DagangNews.com








