Kenya mahu belajar cara Malaysia urus sektor minyak sawit - Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenya mahu belajar cara Malaysia urus sektor minyak sawit - Johari

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Mei — Syarikat-syarikat Kenya berhasrat untuk beralih kepada model industri minyak sawit Malaysia sebagai panduan dalam pengurusan logistik, kecekapan rantaian bekalan dan sokongan rangka kerja dasar.


Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia hasil sesi meja bulat di Nairobi dengan melibatkan sejumlah 15 pemegang kepentingan utama dari industri minyak dan lemak di negara Afrika itu.


Semasa dialog itu, beliau berkongsi pengalaman Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor pertanian, bukan sahaja sebagai pengeksport minyak sawit terkemuka, tetapi pengimport komoditi lain seperti koko.


Johari turut menekankan kepentingan pendekatan secara bersepadu kepada pembangunan industri perladangan berkenaan yang merangkumi aspek infrastruktur, dasar fiskal dan perancangan untuk jangka panjang.


"Salah satu isu kritikal dibangkitkan ialah kos logistik yang meningkatkan harga produk berasaskan sawit sehingga 40 peratus kerana tempoh lama penghantaran ke negara di Afrika Timur," katanya dalam satu kenyataan.

 

johari
JOHARI Abdul Ghani ketika mempengerusikan sesi meja bulat dengan syarikat-syarikat lemak dan minyak dari seluruh Kenya di Nairobi pada 7 Mei 2025.


Selain itu, pemain industri Kenya yang mengimport minyak sawit Malaysia, perlu memprosesnya semula sebelum dijual ke pasaran serantau, namun faktor ketidakcekapan logistik meningkatkan harga runcit pengguna akhir.


Bagi menangani cabaran itu, Johari berkata, Malaysia terbuka kepada kerjasama dalam rumusan infrastruktur dan sokongan teknikal untuk mengurangkan beban kos serta meningkatkan lagi pengagihan bekalan.


"Jika kita dapat mencari rumusan yang betul, sektor ini ada potensi besar dan saya mempelawa pihak berkepentingan Kenya untuk melawat Malaysia dan mengkaji ekosistem pemprosesan minyak sawit kita," kata Johari.


Perkongsian pengetahuan secara langsung itu tambah beliau, boleh membantu dalam meningkatkan lagi tahap produktiviti dan kecekapan industri domestik Kenya sendiri.


Lawatan itu merupakan sebahagian usaha Malaysia menggalakkan perdagangan, inovasi dan kerjasama teknikal merentasi sempadan, terutama pasaran baharu dengan potensi pertumbuhan kukuh. - DagangNews.com