Kenanga tingkatkan pegangan kepada 81.7% dalam KDX, dijadikan bursa aset digital disokong bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga tingkatkan pegangan kepada 81.7% dalam KDX, dijadikan bursa aset digital disokong bank

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Mac – Kenanga Investment Bank Berhad memperkukuh kedudukan dalam ruang aset digital apabila meningkatkan pegangan dalam Kinetic DAX Sdn Bhd (KDX) kepada 81.7% daripada 19%.


Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, langkah tersebut sekali gus menjadikannya anak syarikat dan bursa aset digital pertama di Malaysia yang disokong institusi perbankan.


Usaha peningkatan itu jelas kumpulan berkenaan dilakukan menerusi anak syarikat miliknya, Kenanga Private Equity Sdn Bhd, sebagai sebahagian pelaksanaan pengumpulan dana serta pemodalan KDX.


"Kedudukan modal lebih kukuh akan menyokong pertumbuhan berterusan KDX termasuk perluas platform, menambah rangkaian produk serta mempercepatkan inisiatif strategik," kata Kenanga Investment.


Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chay Wai Leong berkata, pengambilalihan kawalan ini menandakan pencapaian penting dalam perjalanan digital membangunkan ekosistem pelaburan berasaskan teknologi.


Ketua Pegawai Eksekutif KDX, Chan Wei Chi pula berkata sokongan Kenanga akan memperkukuh kedudukan syarikat sebagai platform dagangan aset digital diyakini selamat dan dikawal selia di Malaysia.


Langkah itu turut melengkapi inisiatif digital Kenanga Investment sebelum ini termasuk pelancaran platform token aset dunia sebenar, Myrra, yang dibangunkan bersama Stellar Development Foundation.


"Usaha ini sekali gus memperluas penawaran produk berasaskan teknologi kewangan, manakala pegangan dalam KDX, dinilai membolehkan Kenanga berada pada kedudukan lebih kukuh," tambah kenyataan itu.


Di samping itu jelasnya, langkah ini menyaksikan Kenanga Investment menerajui pembangunan pasaran aset digital tempatan serta menawarkan rumusan pelaburan inovatif kepada pelanggan. - DagangNews.com