KUALA LUMPUR 3 April - Kenanga Research memulakan liputan ke atas Frontken Corporation Bhd (Frontken) dengan penarafan ‘OUTPERFORM’ dan harga sasaran RM4.70, disokong prospek pertumbuhan kukuh hasil lonjakan permintaan dalam industri semikonduktor dipacu kecerdasan buatan (AI).
Firma penyelidikan berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 40 kali bagi unjuran pendapatan sesaham tahun kewangan 2026 (FY26E), mencerminkan momentum kitaran AI yang dijangka berterusan sekurang-kurangnya hingga 2027.
Menurutnya, Frontken yang merupakan penyedia perkhidmatan kejuruteraan dengan kepakaran pembersihan peralatan berteknologi tinggi berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peningkatan perbelanjaan modal dalam sektor semikonduktor.
“Dengan hubungan kukuh bersama foundri global utama, Frontken dijangka merekodkan pertumbuhan hasil sekitar 15% setahun bagi FY26F dan FY27F, didorong kadar penggunaan kemudahan yang tinggi susulan permintaan AI,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma itu turut mengunjurkan keuntungan Frontken berkembang sebanyak 21% pada FY26F dan 16% pada FY27F.
Permintaan terhadap perkhidmatan pembersihan peralatan dijangka meningkat seiring pertumbuhan industri semikonduktor global, yang dianggarkan berkembang pada kadar tahunan terkumpul (CAGR) 25% hingga 2027.
Kadar penggunaan kilang foundri utama seperti TSMC dijangka kekal tinggi sekitar 95%, sekali gus mendorong peningkatan keperluan penyelenggaraan dan pembersihan peralatan dalam ekosistem tersebut.
“Keadaan ini memberi kelebihan kepada Frontken untuk meningkatkan bahagian perbelanjaan daripada pelanggan, disokong penglibatan lebih mendalam dalam teknologi nod maju,” katanya.
Selain itu, peralihan kepada teknologi cip yang lebih kecil seperti 2nm dan 1.6nm turut meningkatkan keperluan pembersihan yang lebih kerap dan kompleks, sekali gus menyokong permintaan terhadap perkhidmatan bernilai tambah tinggi.
Dari segi margin, Frontken dijangka mencatat peningkatan berterusan apabila margin kasar diunjurkan meningkat kepada 48.2% pada FY26 dan 49.1% pada FY27, berbanding sekitar 47.6% pada FY25.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan kerumitan operasi dan perbelanjaan penyelenggaraan dalam industri dijangka memberi kesan positif kepada keuntungan syarikat.
Bagaimanapun, pihaknya turut memberi perhatian kepada potensi pencairan saham susulan kira-kira 440 juta waran tertunggak yang akan tamat tempoh pada April 2026, sekiranya dilaksanakan sepenuhnya.
Antara faktor yang menyokong daya tarikan pelaburan Frontken termasuk kedudukannya dalam kitaran AI, rekod prestasi kukuh bersama pelanggan global serta keupayaan teknikal dalam menyokong teknologi semikonduktor paling maju.
Dalam pada itu, risiko utama yang dikenal pasti termasuk kemungkinan kelembapan permintaan AI, kebergantungan tinggi kepada pelanggan utama, persaingan dalam kalangan foundri serta ketegangan geopolitik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan industri. - DagangNews.com








