Kenaikan tarif AS: MITI pantau kemasukan barangan murah ke Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan tarif AS: MITI pantau kemasukan barangan murah ke Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt – Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (Miti) sedang memantau kemungkinan kemasukan barangan murah ke Malaysia susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan tarif import ke atas beberapa produk termasuk perabot, farmaseutikal dan semikonduktor.

 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah AS itu boleh mendorong negara pengeluar mengalihkan eksport mereka ke pasaran lain termasuk Malaysia.

 

“Apabila pasaran AS menjadi kurang menarik disebabkan tarif yang tinggi, pengeluar dari negara terjejas mungkin mencari pasaran alternatif, termasuk di rantau ASEAN dan Malaysia untuk meneruskan aktiviti pengeluaran mereka dan mengelakkan lebihan stok. 

 

“Peralihan perdagangan ini boleh menyebabkan kemasukan barangan berharga lebih rendah ke pasaran Malaysia yang akan memberi tekanan ke atas harga pasaran dan menjejaskan daya saing pengeluar tempatan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang ingin tahu Langkah perlindungan industri semikonduktor, perabot dan industri lain yang terkesan dengan tarif AS di Parlimen hari ini.

 

Beliau berkata, MITI memainkan peranan penting dalam melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil melalui pelaksanaan langkah-langkah tertentu berdasarkan peraturan sedia ada.

 

Tambahnya, sektor perabot, farmaseutikal dan semikonduktor dijangka antara yang paling terjejas kerana AS merupakan pasaran eksport utama bagi industri-industri ini. 

 

“Kenaikan tarif AS memberi impak langsung terhadap eksport Malaysia dalam sektor-sektor ini. 

 

“Sekiranya berlaku dumping, pengeluar tempatan akan menghadapi tekanan harga dan kehilangan daya saing,” katanya.

 

Oleh itu, beliau menegaskan kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti barangan memasuki negara pada harga yang tidak munasabah atau melibatkan amalan perdagangan tidak adil.

 

“Kami mempunyai peruntukan undang-undang untuk melindungi pasaran domestik, termasuk langkah anti-dumping dan tindakan pemulihan,” katanya.

 

Tengku Zafrul menekankan pemantauan rapi akan diteruskan bagi memastikan tindakan segera boleh diambil sekiranya berlaku peningkatan ketara dalam kemasukan barangan murah.- DagangNews.com