KUALA LUMPUR 30 Mac – AirAsia X Bhd tidak akan membatalkan sebarang penerbangan walaupun menghadapi kenaikan kos bahan api jet akibat konflik di Timur Tengah ketika ini.
Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata kenaikan kadar tambang adalah sesuatu yang sukar dielakkan dalam situasi sekarang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kenaikan kadar tambang itu adalah yang terendah berbanding pesaing untuk memastikan ia masih berpatutan.
Selain itu, beliau juga menegaskan rancangan syarikat untuk membangunkan hangar penyelenggaraan, pembaikan dan pemeriksaan (MRO) di Bahrain pada separuh kedua 2026 tetap kekal dilaksanakan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran mengenai rancangan AirAsia X untuk memulakan penerbangan laluan Kuala Lumpur-Bahrain-London mulai Jun tahun ini.
Capital A memiliki 19% pegangan dalam AirAsia X dan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk penyelenggaraan pesawat dan tempahan dalam talian.
Beliau berkata, Capital A akan mengadakan kemas kini mengenai situasi terkini industri penerbangan dan bagaimana syarikat melihat prospek perniagaan penerbangan pada masa hadapan.
“Keutamaan utama syarikat adalah mengekalkan tambang serendah mungkin bagi manfaat penumpang. Untuk mencapai hasrat itu, syarikat memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam ekosistem penerbangan termasuk syarikat minyak dan pengendali lapangan terbang,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan terkini Capital A.
Ketika ini, syarikat itu sedang berbincang dengan PETRONAS dan beberapa pengendali lapangan terbang bagi mencari jalan untuk mengekalkan tambang penerbangan yang kompetitif.
Dalam pada itu beliau berkata unit ejen pelancongan dalam talian Capital A, AirAsia Move, tidak melihat penurunan ketara setakat ini, malah menikmati komisen lebih tinggi disebabkan harga tiket yang meningkat.
“Permintaan penerbangan masih baik kerana pelancong di Asia kekal berada di rantau ini berikutan konflik di Timur Tengah.
“Pengurangan kapasiti penerbangan di Teluk sebanyak 15 hingga 20 peratus memberi peluang kepada Capital A untuk menampung kos bahan api yang meningkat, termasuk melalui unit kargo udara, Teleport,” katanya.
Beliau turut membandingkan situasi semasa dengan pandemik Covid-19 yang lebih teruk kerana ketika itu syarikat tidak dapat beroperasi.
“Berbeza dengan situasi sekarang, syarikat mampu terus terbang selagi bekalan minyak mencukupi,” katanya.- DagangNews.com








